Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan menekankan bahawa tidak ada keperluan untuk mendapatkan sumber bekalan air daripada negara luar sepertimana yang disiarkan dalam berita luar negara, baru-baru ini.
Jabatan Perkhidmatan Air dalam kenyataannya yang diterima, hari ini, turut memaklumkan kepada orang ramai bahawa Negara Brunei Darussalam memiliki sumber air bersih yang kaya bersumberkan sungai-sungai yang terdapat di negara ini.
Kapasiti loji-loji utama penapisan air di negara ini juga berfungsi pada tahap optimum bagi membekalkan air bersih yang berkualiti, selamat dan mencukupi bagi keperluan orang ramai dan mana-mana industri di sini.


