Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada kes baharu, 134 masih dikuarantin

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan sifar kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 138 orang.

    Sementara itu, satu kes telah disahkan sembuh dari COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 120 orang.

    Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada 17 kes.

    Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

    Demikian telah dikemas kini oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Pada hari ini juga, seramai 134 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,430 orang,” kata Yang Berhormat Menteri
    Kesihatan.

    Menurutnya lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 340 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 12,770 ujian.

    Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa tidak ada kes telah disahkan positif semula, manakala empat kes telah dibenarkan untuk pulang.

    “Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 21 orang di mana 10 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” kongsinya.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda