Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada kes baharu, 66 masih dikuarantin

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Negara Brunei Darussalam hari ini kekal tidak mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes seramai 138 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengumumkan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang turut mengatakan belum ada kes disahkan sembuh setakat ini.

    “Ini bermakna jumlah keseluruhan yang telah sembuh masih seramai 124 orang dan jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kekal kepada 13 kes,” ujarnya.

    Sementara itu, daripada jumlah keseluruhan kes, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

    “Pada hari ini juga, seramai 66 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,509 orang.

    “Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 114 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 13,263 ujian,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tidak ada kes telah disahkan positif semula, manakala satu kes telah dibenarkan pulang hari ini.

    “Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini kekal seramai 21 orang di mana tujuh lagi masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” jelas beliau.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

    Statistik terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda