BEIJING, 26 JUN – China melaporkan sifar kes jangkitan baharu di Shanghai buat kali pertama sejak Mac, kelmarin, ketika penularan di negara itu berkurangan selepas pelaksanaan perintah berkurung berbulan-bulan dan sekatan lainnya.
China adalah negara ekonomi utama terakhir yang komited dengan strategi sifar COVID, cuba membendung jangkitan dengan melaksanakan perintah berkurung yang disasarkan, ujian besar-besaran dan tempoh kuarantin yang lama.
Hab ekonomi, Shanghai, terpaksa dikurung selama berbulan-bulan semasa lonjakan kes COVID musim bunga lalu yang dipacu oleh varian Omicron yang mudah menular, sementara Beijing menutup sekolah-sekolah serta pejabat selama berminggu-minggu ekoran penularan berasingan.
Tetapi jumlah jangkitan semakin menurun sejak beberapa hari kebelakangan, dengan Shanghai kelmarin melaporkan sifar jangkitan tempatan buat kali pertama sejak penularan pada awal Mac.
“Tiada kes domestik baharu COVID dicatatkan dan tiada jangkitan tanpa gejala yang baharu di Shanghai,” menurut kenyataan dikeluarkan bandar itu. – AFP
