Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada kes baharu dicatat, dua sembuh

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kes keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal pada 262 dengan tiada kes jangkitan baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari dengan dua kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada tujuh kes.

    Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dalam keadaan yang baik, menurut kenyataan harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Dalam pada itu, seramai 91,146 orang telah menerima vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

    Menurut Kementerian Kesihatan, seramai 15,562 orang sudah menerima dua dos lengkap manakala itu, seramai 75,584 baharu menerima dos pertama, setakat 5 petang kelmarin.

    Sementara itu, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi pemberian vaksin iaitu 48,305 bagi dos pertama dan 11,899 bagi dos kedua, Daerah Belait mencatatkan 10,983 bagi dos pertama dan 1,185 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 10,600 bagi dos pertama dan 1,815 bagi dos kedua dan Daerah Temburong berjumlah 5,696 bagi dos pertama dan 663 bagi dos kedua.

    Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (424 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 121 kes. Kenyataan turut mengongsikan bahawa seramai 728 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 21,051 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

    Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 320 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 142,548 ujian.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda