Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar turut memaklumkan bahawa seramai 428 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah membuat perjalanan dari luar negara.
“Setakat ini, seramai 2,616 orang telah menamatkan tempoh pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan,” tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau kemudian mengongsikan, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 593 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 28,395 ujian.
Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato berkata, setakat ini seramai 401,284 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut sementara itu, bagi syarikat dan premis pula sejumlah 10,709 telah mendaftar.
“Manakala itu, berkenaan aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,816 telah dimuat turun oleh 4,228 premis perniagaan,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.