Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 333 orang.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, lima kes sembuh dicatatkan, menjadikan kes aktif kepada 53 kes.
Selain itu, turut dikongsikan juga ialah ringkasan pengasingan diri iaitu sejumlah 556 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 22,716 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 425 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 152,313 ujian.
Manakala itu, seramai 156,576 orang telah menerima vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 26,107 orang telah menerima dua dos lengkap dan 130,469 orang baharu menerima dos pertama, setakat 5 petang, 28 Julai.
Jumlah penerima vaksinasi pada 28 Julai 2021 ialah seramai 3,338 orang.
Dengan yang demikian, sejumlah 28.8 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala itu, sejumlah 5.8 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin. Bagi jumlah warga emas yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula ialah seramai 22,165 orang.