Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam tidak menunjukkan banyak perbezaan dengan minggu sebelumnya.
Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, kadar purata harian kes pada minggu lepas ialah 210 kes sehari, berbanding dengan 215 kes sehari pada minggu sebelumnya. Beliau mengongsikan perkara itu semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang diadakan hari ini.
Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa sebanyak 37,733 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 3.9 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
“Pada hari ini, tidak ada kes di dalam kategori 4 dan 5 iaitu kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) dan memerlukan bantuan oksigen,” tambahnya.
Sehingga kelmarin, Yang Berhormat Dato berkata kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.4 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 10.4 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.
“Pada hari ini, sebanyak 269 kes baharu telah dilaporkan iaitu 268 kes hasil ujian ART dan satu kes adalah hasil dari 81 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” kata Yang Berhormat Dato.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT jua.
