Tiada kes jangkitan baharu dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Negara Brunei Darussalam terus bebas daripada jangkitan baharu COVID-19, yang mana setakat pukul 12 tengah hari ini, tiada kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Pengemaskinian statistik tersebut telah dikongsikan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini. Selain itu, turut dikongsikan ialah seramai 367 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 3,092 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 449 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 33,327 ujian. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Negara Brunei Darussalam telah menguji 449 sampel bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 33,327 ujian. – Gambar fail AFP