KOTA KINABALU, 9 SEPT – Seorang pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE) memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemukan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa menerima remaja itu untuk pemeriksaan pada 16 Julai lepas.
Dr Janefer Voo, 32, berkata pelajar tingkatan satu itu dibawa ke jabatan kecemasan oleh penolong pegawai perubatan bersama pasukan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun mekanisme kecederaan tidak diketahui pada ketika itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit. Hasil pemeriksaan juga menunjukkan pelajar itu disyaki mengalami kecederaan otak yang serius selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.
“Disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, remaja itu disyaki mengalami kecederaan dalaman akibat impak tinggi pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan,” kata saksi ketiga itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat prosiding inkues kematian remaja itu.
Beliau berkata amaran trauma diaktifkan pada 4:42 pagi bagi membolehkan rujukan segera dibuat kepada pasukan Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara prosedur resusitasi dilakukan terhadap mangsa.
Ketika disoal pegawai pengendali kes, Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad, mengenai rate of survival mangsa ketika dibawa ke jabatan kecemasan, Dr Voo berkata beliau tidak pasti mengenai perkara berkenaan ketika itu namun, mengikut penilaian awal hanya tahu mangsa dalam keadaan sangat kritikal.
Dr Voo juga berkata, hasil ujian darah pesakit mendapati, keputusan yang tidak normal seperti darah putih tinggi, garam potassium (kalium) dalam julat sederhana rendah dan ia boleh disebabkan tindakan fisiolgi badan yang stress (tertekan) disebabkan oleh trauma. – Bernama


