OTAK adalah bahagian paling penting dalam anatomi manusia untuk menjamin kualiti hidup yang optimum kerana ia adalah organ yang paling kompleks diibaratkan sebagai takhta kepintaran, penterjemah pancaindera, pemacu pergerakan badan dan pengawal tingkah laku.
Apabila berlaku sesuatu tidak diingini yang membabitkan rawatan saraf, bahagian otak perlu diberi penjagaan paling rapi, apatah lagi jika ia membabitkan prosedur invasif atau pembedahan.
Pembedahan otak boleh menimbulkan ketakutan, namun kemahiran pakar perubatan profesional boleh memberi kelegaan dan sinar baru kepada penghidap pelbagai penyakit atau mengalami masalah perubatan.
Seiring dengan peredaran zaman, teknik pembedahan kepala atau otak turut mengalami pembaharuan yang dikenali sebagai teknik supraorbital keyhole craniotomy.
Teknik itu sesuai untuk mereka yang mempunyai ketumbuhan atau kanser otak, salur darah yang tidak normal, pembuluh darah pecah dan sebagainya.

Orang ramai yang mempunyai simptom sakit kepala yang secara perlahan menjadi semakin sakit dari minggu ke minggu atau bulan ke bulan supaya segera berjumpa doktor.
Jangan ambil ringan simptom sakit kepala kerana ia boleh menjadi anda berisiko mendapat kanser otak. Sebab itu adalah disarankan untuk membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengenal pasti masalah kesihatan pada peringkat awal.
Antara kelebihan teknik supraorbital keyhole craniotomy ialah kadar sembuh yang lebih cepat, teknik pembedahan bukaan tempurung yang lebih kecil, pembedahan dilakukan dalam alis mata serta tiada kesan parut yang jelas, kurang risiko jangkitan kuman, kurang pendarahan dan sebagainya.
Konsep pembedahan lubang kunci (keyhole surgery) adalah mengeluarkan tumor secara selamat melalui bukaan kecil, bukaan yang lebih tepat yang meminimumkan kerosakan di sekitar kulit kepala, tempurung, otak, saluran darah dan saraf.
Justeru, kini pembedahan kepala bukan menjadi sesuatu perkara yang menjadi igauan ngeri lagi.