Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Tiada peningkatan dalam kes influenza dilaporkan di Negara Brunei Darussalam tahun ini.
Sebanyak 207 kes influenza yang disahkan telah dikesan dari Januari hingga 15 Oktober 2025, berbanding 259 kes bagi tempoh yang sama pada 2024.
Daripada jumlah kes pada 2025, sebanyak 19 peratus daripada jangkitan adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.
Setakat ini, tiada kluster kes dan kematian berkaitan influenza telah dilaporkan, jelas Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, mengenai status jangkitan penyakit influenza di negara ini susulan peningkatan kes jangkitan influenza di negara jiran.
Berdasarkan pemantauan oleh Kementerian Kesihatan, jenis virus influenza yang utama dikenal pasti pada tahun ini ialah Influenza A (H1N1) sebanyak 61 peratus, diikuti oleh Influenza A (H3) sebanyak 20 peratus dan Influenza B sebanyak 11 peratus.


