KEPALA BATAS, 30 JULAI – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar dengan arahan pemakaian penutup mulut dan hidung yang diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum mulai 1 Ogos ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahaya berkata kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.
“Rakyat hanya perlu patuh dan ikut keputusan (kerajaan) untuk kepentingan seluruh negara.
“Memang tidak selesa (memakai penutup mulut dan hidung), tapi ia dapat melindungi kita daripada dijangkiti,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan RM160,000 kepada 32 buah masjid dalam Parlimen Tasek Gelugor, di sini, hari ini. Beliau berkata pemakaian penutup mulut dan hidung kini sudah menjadi kebiasaan baharu kepada rakyat Malaysia sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19.
“Kita telah membudayakan pemakaian penutup mulut dan hidung sejak awal penularan COVID-19 lagi. Lebih kurang lima bulan dah, takkan rakyat tak terbiasa. Jadi, kita tidak boleh terima alasan kalau rakyat kata tak biasa (pakai penutup mulut dan hidung),” tegasnya. – Bernama