Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada kompromi terhadap polis terlibat jenayah

    BAGAN DATUK, 29 Dis – Kementerian Dalam Negeri tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian jenayah yang dilakukan oleh pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata soal integriti adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak ansur dan tindakan setimpal akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah.

    “Kita memberikan keutamaan kepada soal keselamatan. Jika kejadian jenayah berlaku, apatah lagi jika ia dilakukan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa dan anggotanya, maka tindakan pasti dilakukan.

    Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak. Ini adalah komitmen kita kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membantu peniaga ketika membuat tinjauan mesra sepetang bersama rakyat di Dataran Jeti Bagan Datuk hari ini. – Bernama

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah membabitkan 1,136 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Parlimen Bagan Datuk di SJKC Chong San di Rungkup  di sini, hari ini.

    Semalam, PDRM mengesahkan penahanan seorang Inspektor dan dua anggotanya yang bertugas di Perak serta seorang orang awam bagi membantu siasatan kes kejadian samun berkumpulan dan memeras ugut di sebuah rumah di Ipoh, pada Rabu.

    Ini berikutan seorang lelaki berusia 54 tahun telah membuat laporan polis mendakwa didatangi enam lelaki mengaku sebagai anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan di dalam rumahnya selain diperas ugut untuk menyerahkan RM12,300.

    Dipercayai wang tersebut diminta sebagai melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai polis kerana penemuan dadah di rumahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda