Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada masalah jika Harimau Malaya ‘bergerak sendiri’ – AFC

    KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak melihat sebarang masalah sekiranya Harimau Malaya ‘bergerak sendiri’ pada masa depan.

    Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata pihaknya juga tidak menyekat idea itu selagi pasukan bola sepak lelaki kebangsaan masih di bawah tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

    “Pertama sekali, kita perlu melihat laporan bagaimana projek ini akan dilakukan, saya guna projek sebab semua yang akan dilakukan harus dilakukan di bawah penguasaan atau tanggungjawab FAM. Sebab itu perlu lihat dulu perincian siapa pihak pengurusan, siapa yang buat keputusan dan bagaimana dana diagihkan.

    “Mana-mana projek dibuat harus di bawah tanggungjawab FAM sebab yang akan berurusan dengan AFC, Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) atau mana-mana badan luar adalah FAM dan bukannya syarikat atau pengurusan lain malah tandatangan Setiausaha Agung FAM yang diambil kira, bukan orang lain kerana ini adalah kebiasaan dari segi pentadbiran, struktur mahupun tadbir urus,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Persidangan Perubatan AFC 2025 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr K. Nagulendran di sini hari ini.

    Windsor berkata langkah itu pernah dilaksanakan sebelum ini melibatkan skuad muda negara sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja 1997 yang diuruskan badan lain di bawah kendalian bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA,) Allahyarham Tan Sri Elyas Omar.

    Walaupun berada di bawah FAM, beliau berkata badan itu diberi kuasa untuk memilih jurulatih yang mengendalikan pasukan remaja negara ketika itu.

    “Malah (skuad bola sepak) Thailand sebelum ini pernah diuruskan pihak lain, dikendali seorang ahli perniagaan wanita dan bukan wakil persatuan mahupun pemegang taruh,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Windsor John (kiri semasa Persidangan Perubatan AFC ke-8 Kuala Lumpur 2025 di Rumah AFC, Bukit Jalil, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda