Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tiada masalah’ jika saya diganti – Ancelotti

    MADRID, 17 APRIL – Carlo Ancelotti boleh terima kenyataan sekiranya Real Madrid mungkin menggantikannya setelah Arsenal menyingkirkan juara bertahan Liga Juara-Juara itu pada suku akhir kelmarin.

    Jurulatih dari Itali itu menyaksikan kekalahan 2-1 di tempat sendiri dengan Gunners mara secara agregat 5-1 ke separuh akhir.

    Real Madrid mengalami kekalahan ke-12 musim ini, berbeza dengan hanya dua kekalahan sepanjang kempen sebelumnya.

    “Boleh jadi kelab memutuskan untuk menukar (jurulatih), boleh jadi tahun ini atau apabila kontrak saya tamat, tiada masalah,” kata Ancelotti kepada pemberita.

    “Seandainya saya pergi dari sini, saya hanya boleh berterima kasih kepada kelab.

    “Ia mungkin esok, dalam 10 hari, dalam sebulan atau setahun, tetapi apa yang boleh saya lakukan ialah berterima kasih kepada kelab. Jika kontrak saya tamat atau tidak, saya tidak kisah.”

    Madrid telah dikaitkan dengan jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, yang pernah bermain untuk Los Blancos dan juga bekas bos Liverpool, Jurgen Klopp.

    Ancelotti berkata pasukannya masih dalam perjuangan untuk La Liga, Copa del Rey dan Piala Dunia Kelab musim panas ini.

    “Pasukan memberikan segala-galanya dari segi sikap, tetapi kami tidak mampu melakukannya,” kata Ancelotti selepas dikalahkan Arsenal.

    “Sejujurnya, Arsenal bertahan dengan sangat baik, kami mendapati sukar untuk mencari ruang, dari segi intensiti kami lebih baik tetapi ia tidak mencukupi.” – AFP

    Reaksi Carlo Ancelotti semasa sidang akhbar di Real Madrid Sports City di Valdebebas, Madrid pada 15 April. Dia mungkin diganti setelah Real Madrid tewas. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda