ROTTERDAM, 20 MAC – Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata kelmarin bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan bintang muda, Lamine Yamal, yang berpuasa sempena Ramadan ketika pasukannya bersiap sedia menghadapi perlawanan suku akhir Nations League menentang Belanda.
“Ia sesuatu yang biasa bagi kami. Dia mengikuti nasihat dan peraturan seperti yang dilakukannya di kelabnya (Barcelona),” kata De la Fuente pada sidang media menjelang perlawanan pertama di Rotterdam.
“Pasukan perubatan dan pakar pemakanan telah memberikan garis panduan mengenai pemakanan dan hidrasi kepadanya.”
Yamal, 17 tahun, sedang menjalani ibadah puasa dalam bulan suci Islam buat pertama kali.
“Kami sentiasa menghormati semua kepercayaan agama. Dia berada dalam keadaan yang sempurna untuk bermain,” tambah De la Fuente menjelang perlawanan Khamis ini.
Jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui bahawa ini adalah kali pertama dalam karier kejurulatihannya beliau mempunyai pemain yang berpuasa ketika latihan dan perlawanan.
“Saya tidak pernah mengalami situasi seperti ini sebelum ini, tetapi kami teruskan seperti biasa,” katanya.
Juara bertahan Nations League, Sepanyol, akan menentang Belanda dalam dua perlawanan untuk merebut tempat ke separuh akhir perlawanan timbal balik akan berlangsung pada Ahad di Valencia. – AFP
