Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tiada niat pintas pacer’

    KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengakui tidak berniat untuk memintas pacer (derny – basikal elektrik bertindak sebagai pacer) ketika saringan pertama acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

    Mohd Azizulhasni yang dibatalkan penyertaannya menjelaskan tindakan itu susulan berlakunya halangan dan himpitan berterusan daripada pelumba Perancis, Rayan Helal, selain pacer bergerak pada kelajuan tidak sepatutnya iaitu 40 hingga 45 kilometer sejam (km/h) dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.

    Beliau berkata sebagai pelumba elit, lazimnya mereka tahu kelajuan pacer sebelum memecut keluar yang secara lazimnya mencecah 50-55km/h.

    “Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti diinginkan.

    “Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu garisan halus di tengah front stretch (bukannya garisan permulaan),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

    Mohd Azizulhasni hadir bagi memberi sokongan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang akan bersaing pada peringkat akhir keirin lelaki di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome pada 11 Ogos. – Bernama

    Pelumba berusia 36 tahun itu turut berkongsi mengenai percaturan perlumbaan yang telah direncanakan bersama ketua jurulatih John Beasley selepas mendapat undian, iaitu adalah untuk terus ke depan dan cuba dapatkan posisi itu seawal mungkin.

    Perancangan itu dibuat kerana beberapa kelibat pelumba dengan kelajuan tinggi ada dalam saingan dan jika mereka memecut, ia akan menyukarkan beliau untuk bergerak ke hadapan.

    Sekiranya menggunakan taktik menunggu, pemenang dua kali pingat Sukan Olimpik itu khuatir kemungkinan halangan dan jurang dari beberapa pelumba hadapan dan disebabkan itu, Mohd Azizulhasni memilih taktik terbaik bagi meningkatkan peluang untuk menang, dan ia pernah digunakan pada pusingan awal saingan di Tokyo 2020.

    “Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan dari belakang, ini sama ketika saya lakukan di perlumbaan Asian Championships di Kuala Lumpur dahulu.

    “Perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama),” katanya.

    Berikutan ‘hukuman’ itu, Beasley dan Pengurus Pasukan, Izham Mohammad terus berjumpa panel Komisar bagi menjelaskan keadaan dan memohon untuk melakukan semakan video perlumbaan namun panel Komisar memilih untuk kekal dengan keputusan sama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda