MANILA, FILIPINA, 15 SEPT – Pegawai Filipina hari ini memberi amaran kemungkinan bahaya kepada pesawat dan kapal akibat serpihan daripada pelancaran roket baharu China yang mungkin jatuh di perairan utara Filipina, menurut pihak berkuasa, menambah tiada serpihan ditemui setakat ini.
Agensi Angkasa Lepas Filipina mengatakan roket China, Long March 7A dilancarkan pada malam Selasa dari Pusat Pelancar Angkasa Wenchang di Pulau Hainan. Pelancaran itu menyebabkan agensi memaklumkan pihak berkuasa Filipina kemungkinan bahaya di dua kawasan pesisir pantai di mana serpihan boleh jatuh.
Kemungkinan ‘Zon jatuh’ bagi roket itu ialah 71 kilometer (km) dari bandar Burgos di wilayah Ilocos Norte dan 52km dari bandar Santa Ana di wilayah Cagayan, menurut agensi angkasa itu, memetik maklumat daripada notis kepada juruterbang dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China.
Bahagian roket yang tertanggal sebelum sampai ke angkasa akan jatuh ke pesisir pantai kurang sejam selepas pelancaran roket, kata jurucakap Agensi Angkasa Filipina, Tricia Zafra.
“Setakat ini, tiada penemuan dibuat. Kami akan terus mendapatkan laporan mengenainya,” Zafra memberitahu The Associated Press. “Harap tiada kecederaan atau kerosakan berkaitan dengannya.” – AP
