PUTRAJAYA, 8 MEI – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada penyakit berjangkit dikesan atau kematian baharu dilaporkan, susulan penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh, Perak, baru-baru ini.
DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan awal ujian terhadap tiga bangkai merpati itu bagi penyakit berjangkit Avian Influenza (AI), Newcastle Disease (ND) dan Adenovirus adalah negatif dan bukan faktor penyebab kematian haiwan tersebut.
“Bedah siasat mendapati merpati itu mempunyai kandungan perut yang penuh, dengan beberapa penemuan signifikan termasuk perubahan warna pada hati, kehadiran darah beku dalam rongga toraks serta pendarahan pada trakea dan paru-paru.
“Sampel organ dalaman seperti hati, jantung, buah pinggang, limpa, paru-paru, usus dan trakea telah dihantar untuk analisis makmal. Pada masa ini, ujian keracunan sedang dijalankan oleh Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan itu.
DVS memaklumkan kesimpulan akhir kematian burung tersebut hanya dapat dibuat selepas menerima keputusan ujian keracunan daripada Jabatan Kimia.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk melindungi keselamatan awam serta sektor penternakan negara daripada risiko penyakit bawaan haiwan, DVS akan terus menjalankan pemantauan terhadap situasi semasa di Padang Ipoh,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, kandungan video mengenai penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di sekitar kawasan pancuran air di kawasan riadah tumpuan penduduk sekitar Ipoh itu, tular di media sosial.
DVS mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung kejadian pada Ahad lepas, dengan DVS Perak telah melawat tapak kejadian dan melakukan siasatan pada hari sama.
“Pemerhatian awal mendapati terdapat banyak bangkai burung merpati di kawasan berkenaan, namun burung lain di lokasi sama kelihatan sihat dan normal,” menurut kenyataan itu. – Bernama
