Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada perbarisan pada 31 Ogos

    PUTRAJAYA, 8 JULAI – Tidak ada acara perbarisan atau perhimpunan dijadualkan berlangsung bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan setakat ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata ini disebabkan acara perbarisan Hari Kebangsaan adalah berskala besar dan melibatkan ribuan peserta.

    “Dan yang kedua penjarakan sosial tidak ada sewaktu perbarisan. Bukan sahaja peserta perbarisan tetapi juga penonton,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

    Beliau berkata penjarakan sosial dalam kalangan penonton yang berada di kerusi orang kenamaan (VVIP) dan tempat yang dikhaskan mungkin mudah untuk dikawal namun kehadiran orang ramai untuk menyaksikan acara itu sukar diawasi.

    Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata sambutan Merdeka bukan hanya melibatkan perarakan sahaja tetapi terdapat pelbagai program lain seperti pelancaran Bulan Kemerdekaan, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan acara ambang Merdeka.

    Beliau percaya perincian mengenai sambutan Hari Kebangsaan akan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

    Sementara itu Ismail Sabri berkata orang ramai tidak perlu lagi menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bagi mereka dari Semenanjung yang ingin ke Sabah atau Sarawak.

    Jelasnya rakyat kini bebas bergerak ke seluruh negara tanpa perlu menjalani kuarantin kerana keadaan penyakit COVID-19 di negeri seperti Sabah dan Sarawak adalah terkawal.

    “Bagaimanapun, apabila mereka tiba di lapangan terbang mungkin mereka akan disaring secara rawak,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda