Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada perjanjian dimeterai

    HANOI, 28 Feb – Tiada sebarang perjanjian dimeterai antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di sidang kemuncak kedua yang berlangsung di Hanoi, lapor agensi berita Yonhap memetik Rumah Putih, hari ini.

    “Buat masa ini tiada sebarang perjanjian dicapai, namum pasukan masing-masing berharap dapat bertemu lagi di masa depan,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu kenyataan.

    Beliau menambah Trump dan Kim telah mengadakan perbincangan yang baik dan membina dan kedua-dua pemimpin berbincang mengenai kaedah untuk kemajuan di Semenanjung Korea.

    Kenyataan itu dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin meninggalkan lokasi persidangan selepas acara jamuan tengah hari dan majlis menandatangani perjanjian dibatalkan.

    Menurut Trump lagi, Trump berkata kegagalan mencapai kesepakatan dengan Korea Utara kerana pemimpinnya Kim Jong Un mahu semua sekatan terhadap Pyongyang ditarik balik, lapor agensi berita Yonhap.

    Trump (kiri) dan Kim ketika mengadakan rundingan di Hotel Sofitel Legend Metropole, Hanoi kelmarin. – AFP

    “Pada dasarnya, mereka mahu semua sekatan ditarik balik, tetapi kami tidak boleh berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar selepas sidang kemuncak kedua di antara kedua-dua pemimpin di Hanoi pada Khamis. Berikutan itu Trump bertindak meninggalkan perbincangan tanpa sebarang perjanjian dicapai.

    “Saya memang mahu menarik balik sekatan kerana ingin melihat negara itu mencapai kemajuan,” katanya sambil menambah Korea Utara yang sepatutnya perlu berkorban lebih banyak.

    Terdahulu Trump hari ini sekali lagi berkata bahawa beliau “tidak mahu tergesa-gesa” ketika berdepan Korea Utara yang sekali gus mencadangkan bahawa laluan ke arah pembasmian senjata nuklear rejim itu masih panjang, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    “Kepantasan tidak begitu penting. Bagi saya, saya amat menghargai ketiadaan ujian pelancaran roket nuklear dan peluru berpandu,” kata beliau pada permulaan rundingan empat mata dengan Kim.

    “Sekali lagi, saya ingin mengulangi bahawa saya tidak mahu tergesa-gesa. Kami tidak mahu ujian itu dilakukan, kami telahpun membangunkan sesuatu yang amat istimewa bagi tujuan itu,” katanya.

    Sementara itu, Kim Jong Un berkata beliau akan terus melakukan segala yang termampu bagi menjayakan rundingan dengan Trump semasa mereka memulakan perbincangan yang masuk hari kedua di sini pada Khamis.

    “Saya akan melakukan yang terbaik untuk mencapai hasil yang memberangsangkan,” kata Kim sambil duduk bersama Trump.

    Kim berkata beliau mempunyai “firasat” akan mencapai kejayaan menerusi “dialog hebatnya” dengan presiden itu.

    Selepas mengadakan perbincangan semasa makan tengah hari, kedua-dua pemimpin merancang untuk menandatangani satu kenyataan bersama pada kira-kira pukul 2 petang, yang mengandungi “Deklarasi Hanoi.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda