NEW DELHI, 30 MAC – India dan Amerika Syarikat (AS) telah bersetuju untuk memuktamadkan sebahagian daripada perjanjian perdagangan dua hala menjelang tahun ini, namun kedua-dua pihak tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai pengecualian tarif untuk negara paling ramai penduduk di dunia itu.
Kedua-dua negara mengadakan rundingan perdagangan di New Delhi minggu ini, hanya beberapa hari sebelum rejim tarif perdagangan timbal balik Presiden AS, Donald Trump, yang termasuk duti import yang dikenakan terhadap India, mula berkuat kuasa pada 2 April.
Dasar perlindungan India serta lebihan perdagangannya dengan AS menjadikannya terdedah kepada kemungkinan tarif balas dari pentadbiran Trump.
Pegawai daripada kedua-dua pihak telah “secara umumnya mencapai persefahaman mengenai langkah seterusnya ke arah Perjanjian Perdagangan Dua Hala (BTA) yang saling menguntungkan dalam pelbagai sektor, dengan matlamat untuk memuktamadkan fasa pertamanya menjelang musim luruh 2025,” menurut kenyataan Kementerian Perdagangan India lewat kelmarin. – AFP
