Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada ruang ‘politik’ dalam usaha wujudkan sukan bersih

    MONTREAL, 30 MEI – Presiden Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), Witold Banka, yang baru sahaja dipilih semula, kelmarin mengecam peningkatan unsur politik dalam usaha global memerangi penggunaan dadah peningkat prestasi dalam sukan.

    “Pempolitikan anti-doping adalah sesuatu yang sangat membimbangkan,” katanya dalam satu sidang media di Montreal, tempat agensi tersebut berpusat. “Kami melihat semakin banyak cubaan untuk mempolitikkan persekitaran anti-doping.”

    “Tiada tempat untuk politik atau perebutan kuasa dalam perjuangan menegakkan sukan yang bersih,” tambahnya.

    Banka bersama Naib Presiden, Yang Yang, dipilih semula oleh lembaga WADA bagi penggal ketiga dan terakhir selama tiga tahun yang akan berakhir pada tahun 2028.

    Dalam sidang media selepas pengundian, Banka secara terbuka mengkritik Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA) dan ketuanya, Travis Tygart, susulan hubungan tegang berikutan tuduhan bahawa WADA gagal mengendalikan ujian positif terhadap bahan terlarang oleh 23 perenang China – dakwaan yang telah ditolak oleh WADA.

    Dia menyifatkan adalah ‘sangat sukar untuk bekerjasama dengan Tygart,’ yang menuduh WADA menyembunyikan kebenaran.

    Beliau turut mengulangi kecaman terhadap penganjuran edisi pertama Enhanced Games di Las Vegas – sebuah acara seakan Sukan Olimpik yang membenarkan atlet menggunakan bahan peningkat prestasi seperti steroid dan hormon pertumbuhan manusia, yang diharamkan dalam sukan antarabangsa.

    Banka menyeru pihak berkuasa Amerika Syarikat agar menghalang acara tersebut daripada dianjurkan pada Mei 2026, yang dijadualkan melibatkan tiga acara sukan iaitu olahraga, renang dan angkat berat.

    WADA mengatakan pihaknya akan meningkatkan pemantauan pematuhan serta audit terhadap organisasi anti-doping kebangsaan, selain memperluas rangkaian risikan untuk membanteras penipuan dalam sukan. – AFP

    Witold Banka berucap semasa sesi mesyuarat ke-144 Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Costa Navarino, Greece, pada 21 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda