Penyanyi Malaysia, Hafiz Suip, menjelaskan dia dan rakan artis, Adira Suhaimi, masih kekal bersahabat meskipun pernah mempunyai hubungan istimewa sebelum ini.
Meskipun begitu jelas Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, jalinan antara mereka tidak pernah melibatkan perasaan cinta seperti pasangan kekasih.
“Saya dengan Adira kami masih berkawan dan tidak lebih daripada itu, tiada perasaan antara satu sama lain.
Masing-masing pun sudah ada hidup sendiri, apa saya boleh katakan doakan yang baik-baik sahaja,” katanya kepada mStar.
Ditanya mengenai peminat yang berharap agar mereka berdua berjodoh selepas kedua-duanya kembali solo, Hafiz memberitahu dia tidak dapat menghalang mulut orang dan tanggapan mereka.

Baginya biarpun peminat mahu melihat mereka bersama, dia berharap agar perkara itu tidak menimbulkan tanggapan isu negatif terhadap kedua-dua pihak.
“Kalau peminat cuba kenenkan tu saya nak buat macam mana? Mulut orang dan tanggapan mereka kita tak boleh nak halang.
“Tapi kalau boleh tak naklah sehingga timbul isu negatif memandangkan masing-masing dah ada hidup sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hafiz juga berkongsi rasa rindunya untuk merakamkan lagu duet bersama Adira selepas enam tahun.
Namun, buat masa sekarang, dia mahu fokus kepada persiapan konsertnya yang bakal berlangsung tidak lama lagi. – Agensi

