LABUAN, 10 JULAI – Tiada sebarang usaha penyebaran agama Kristian di kapal Doulos Hope yang sedang berlabuh di Megah Port Labuan, menurut kenyataan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pasukan penguat kuasa JAWI Labuan telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pameran buku yang diadakan atas kapal berkenaan.
“JAWI Cawangan Labuan dan beberapa agensi berkaitan telah mengadakan pemantauan dan mendapati tiada sebarang usaha penyebaran agama Kristian seperti yang didakwa.
“Segala aktiviti pameran buku berjalan lancar dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat salah yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kekacauan.
Kapal yang terkenal dengan pameran buku terapung antarabangsa yang mengetengahkan koleksi pelbagai genre merangkumi lebih 120,000 buku.
Acara ini menarik ratusan pengunjung setiap hari sejak pembukaannya pada 3 Julai.
Dibuka kepada pengunjung setiap hari dari 1 petang hingga 9 malam, kecuali Isnin, dan akan berada di Labuan hingga 28 Julai.
Doulos Hope tiba di pelabuhan Labuan pada 2 Julai sebagai sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara. – Bernama
