Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tiada sekatan ekonomi walaupun dalam senario terburuk’

    KUALA LUMPUR, 29 JAN – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan Malaysia tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun sekiranya berlaku senario terburuk.

    Sebaliknya, beliau berkata kerajaan akan terus menumpu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sekiranya jumlah kes COVID-19 di negara ini terus meningkat.

    ”Berdasarkan kepada model semasa, kami percaya bilangan kes akan menurun.

    “Seandainya senario terburuk (berlaku), kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi, kami akan terus menumpukan kepada SOP yang lebih ketat,” katanya dalam satu program temu bual bersama CNBC hari ini.

    Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kerajaan akan menutup sektor tertentu atau sektor manakah yang diberi keutamaan untuk ditutup sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) terpaksa dilanjutkan, atau pembekalan vaksin COVID-19 tidak berjalan lancar seperti yang dijangkakan.

    Beliau berkata sekiranya jumlah kes terus meningkat, isu-isu utama seperti kepatuhan dan penguatkuasaan SOP perlu ditangani.

    Malaysia merekodkan 4,094 kes baharu COVID-19 pada Khamis menjadikan jumlah jangkitan di negara ini sebanyak 198,208 kes setakat ini.

    Sementara itu Tengku Zafrul menolak pandangan bahawa kenaikan ringgit berbanding dolar AS ketika ini akan memberi impak kepada prestasi eksport.– Bernama

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi taklimat khas kepada pengamal media berkenaan pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda