Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada ‘Super Typhoon’ dikesan – BDMD

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyatannya hari ini ingin menjelaskan berkenaan maklumat ‘Super Typhoon’ yang dikeluarkan oleh Utusan Borneo Online yang tular di media sosial.

    Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa pada masa ini tidak ada sistem taufan yang dikesan di kawasan rantau negara ini.

    Walau bagaimanapun, sistem yang ada pada masa ini hanyalah sistem tekanan rendah (low pressure) yang berada di lokasi 8.4°N 114.9°E, iaitu 400km utara Negara Brunei Darussalam pada 4:30 pagi tadi.

    Sistem berkenaan dijangka akan bergerak jauh dari Brunei dan diramalkan menjadi lekukan tropika dalam tempoh beberapa jam akan datang.

    Sistem tekanan rendah tersebut dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung, menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sekali-sekala lebat berserta angin kencang.

    Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40 hingga 60kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berangin. Manakala keadaan laut dijangka meningkat sehingga 3m.

    BDMD akan terus memantau perkembangan sistem tekanan rendah tersebut dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat serta amaran cuaca jika perlu.

    Sehubungan dengan itu BDMD menasihatkan orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi Brunei WX. Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda