Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tiada Tiktok di AS buat sementara waktu’

    WASHINGTON, 19 JAN – TikTok pada lewat malam kelmarin mengumumkan bahawa perkhidmatannya “tidak tersedia buat sementara waktu”, lapor Agensi Anadolu (AA).  

    “Kami kesal bahawa undang-undang di AS yang melarang TikTok akan berkuat kuasa pada 19 Jan, seterusnya memaksa kami untuk menghentikan perkhidmatan buat sementara waktu.

    “Kami sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan kami di AS secepat mungkin dan kami menghargai sokongan anda. Nantikan maklumat lanjut,” menurut aplikasi perkongsian video popular itu dalam mesej kepada semua pengguna.  

    Mahkamah Agung AS pada Jumaat lalu mengesahkan undang-undang untuk melarang TikTok kecuali jika syarikat induk yang berpangkalan di China, ByteDance melepaskan pemilikan aplikasi itu.

    Mahkamah memutuskan bahawa ultimatum sama ada pelepasan aset atau menghadapi larangan itu tidak melanggar hak Pindaan Pertama syarikat di bawah Perlembagaan AS.  

    Rumah Putih menyatakan bahawa aplikasi media sosial China itu boleh terus tersedia di AS, tetapi di bawah pemilikan Amerika bagi menangani kebimbangan keselamatan negara.  

    Presiden terpilih Donald Trump menunjukkan simpati terhadap TikTok, akan kembali ke Rumah Putih esok untuk memulakan penggal kedua pentadbirannya, sehari selepas tarikh akhir ByteDance untuk melupuskan pemilikan.  

    Trump menggesa Mahkamah Agung untuk menangguhkan keputusan itu bagi memberi ruang untuk rundingan.

    Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew dijangka menghadiri majlis pelantikan Trump. – Bernama 

    Caption: Foto ilustrasi yang diambil di Los Angeles kelmarin menunjukkan aplikasi TikTok di hadapan foto Presiden AS Donald Trump. Tiada Tiktok di AS. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda