LONDON, 14 APRIL – Penolong pengadil, Constantine Hatzidakis tidak akan berdepan tindakan lanjut daripada Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) walaupun menyiku pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson.
Insiden itu berlaku sejurus selepas wisel separuh masa dibunyikan semasa The Reds seri 2-2 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Arsenal baru-baru ini.
Hatzidakis telah digantung tugas semasa siasatan FA dijalankan tetapi kini telah dilepaskan daripada sebarang salah laku dan bebas untuk terus mengadili permainan.
“Kami telah menyemak dengan teliti semua bukti berhubung insiden di Anfield baru-baru ini yang melibatkan pemain pertahanan Liverpool, Andrew Robertson dan pegawai perlawanan, Constantine Hatzidakis, dan kami tidak akan mengambil tindakan lanjut,” kata FA dalam satu kenyataan.
“Proses komprehensif kami melibatkan semakan kenyataan terperinci daripada Liverpool dan Pegawai Perlawanan Permainan Profesional Ltd (PGMOL), serta pelbagai sudut rakaman video, berhubung dengan kedua-dua insiden dan keadaan sekelilingnya.”
Robertson yang marah telah dilayangkan kad kuning selepas itu setelah dia terpaksa ditenangkan oleh rakan sepasukan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PGMOL, Hatzidakis berkata, “Saya membantu sepenuhnya FA dalam siasatan mereka dan telah membincangkan perkara itu secara langsung dengan Andy Robertson semasa perbualan terbuka dan positif.
“Sudah tentu bukan niat saya untuk membuat sebarang provokasi dengan Andy ketika saya menarik lengan saya daripadanya dan untuk itu saya telah meminta maaf,” tambahnya.
“Saya tidak sabar untuk kembali mengadili perlawanan.” – AFP


