Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada tolak ansur – Mahathir

    KUALA LUMPUR, 29 Nov – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan kerajaan akan memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa.

    Sehubungan itu, perdana menteri memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan perkara tersebut.

    “Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendukung prinsip ‘rule of law’, juga akan bertindak berdasarkan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Isnin.

    Tegasnya, ia bukan niat kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan semua pihak harus faham akan batas-batas demokrasi ini.

    Tun Dr Mahathir Mohamad berbual bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan Selangor, kelmarin. – Bernama

    “Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya.

    Dr Mahathir juga sekali lagi menekankan bahawa insiden tersebut bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan hubungan antara kaum di negara ini.

    Katanya, kerajaan juga tidak akan teragak-ajak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha provokasi dan terhadap mereka yang cuba mencabar undang-undang negara.

    “Kerajaan telah berjanji tidak melakukan sebarang halangan untuk pemberitaan dan komunikasi tetapi kebebasan ini harus digunakan dengan penuh tanggungjawab dan bukan untuk mengapi-apikan keadaan yang boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonian perhubungan antara kaum.

    “Ini juga bukan masanya untuk menuding jari terhadap sesiapa. Pihak polis sudah pun diberi tanggungjawab untuk mengawal ketenteraman serta menjalankan siasatan. Yang bersalah tetap bersalah dan akan menghadapi tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.

    Beliau juga menggesa semua rakyat supaya bertenang dan mengelak dari terbabit di dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan untuk melakukan hasutan.

    Katanya adalah amat penting bagi semua pihak untuk sedar bahawa keselamatan serta kestabilan negara adalah tanggungjawab bersama.

    “Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, sama ada di dalam Dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang ini pun sudah banyak berita palsu dan salah yang diedarkan.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda