Tiada undi 18 tahun di PRN Sarawak

KUCHING, 2 DIS – Kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Beliau menjelaskan walaupun kerajaan telah mewartakan arahan tersebut, PRN Sarawak kali ini hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 Nov lepas.

Menurutnya daftar pemilih tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-11 pada 3 Nov, selaras Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Keputusan ini berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama