Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada zuriat, angkara dosa silam

    Oleh Aima Aidi –

    (Bahagian satu)

    Hani dan Azman adalah sepasang suami isteri yang mendirikan rumahtangga kira-kira tiga tahun yang lalu. Mereka hidup aman dan bahagia. Namun sepanjang tiga tahun melayari kehidupan berumah tangga bersama-sama mereka belum lagi dikurniakan cahayamata. Di hati mereka sebenarnya merasa rindu untuk mendengar suara tangisan anak-anak di rumah apatah lagi setelah penat pulang dari bertugas. Dengan adanya suara rengekan anak kecil mungkin segala keletihan sepanjang hari bertugas di pejabat akan hilang. Bak kata orang anak adalah penyeri sebuah kehidupan berumah tangga.

    Sudah puas mereka berubat ke sana ke mari, dari klinik swasta hinggalah hospital pakar dari dalam mahupun luar negara. Jenuh berubat secara moden mereka mencuba pula perubatan tradisional. Dari bandar hinggalah ke pelosok kampung tetap mereka jelajahi.

    Di mana saja mereka mendengar seseorang boleh megubati suami isteri yang tidak boleh beranak, mereka pasti akan pergi menemuinya walau sejauh mana sekalipun. Berurut, bertangas hingglah mencuba pelbagai ubat-ubatan tradisional yang terdiri daripada akar-akar kayu namun semuanya hampa, tetap tidak mendatangkan sebarang hasil. Mereka tetap seperti dahulu hidup berdua suami isteri sahaja.

    Jika ada orang mengatakan yang buah atau sayuran ini baik dan menggalakkan untuk mendapatkan zuriat, mereka tidak ketinggalan untuk mencuba. Ubat-ubatan Cina, India hinggakan ubat-ubatan hasil dari orng asli di pedalaman pun mereka makan namun hasilnya tetap sama. Nak dikatakan salah seorang antara mereka ini mandul, setiap doktor pakar yang mereka temui menyatakan yang Hani dan Azman adalah pasangan yang normal dan boleh menghasilkan zuriat.

    Setelah puas ke sana ke mari mencari ubat dan pelbagai usaha dilakukan mereka tetap tidak mujarab, mereka memutuskan untuk bersabar dan menunggu sahaja. Mungkin belum rezeki mereka. Namun di sebalik semua itu adalah angkara perbuatan durjana mereka semasa muda-muda dahulu.

    Foto Canva
    Gambar Freepik

    Sehingga pada suatu malam, Hani bermimpi didatangi oleh tiga orang budak kecil yang comel-comel belaka. Ketiga-tiga budak itu memanggil Hani dengan sebutan ‘Mama’. Budak-budak itu menangis sayu seakan-akan meminta belaian dari Hani. Mereka mengengsot perlahan-lahan mendekati Hani. Tubuhnya seakan-akan terpaku tidak mampu bergerak walaupun hatinya meronta-ronta untuk membelai dan mendakap budak-budak comel itu.

    Naluri Hani melihat budak-budak tersebut dan rindunya terhadap anak kecil sejak sekian lama seakan sirna melihat wajah-wajah yang comel dan lucu itu. Budak-budak itu kian hampir dengan Hani. Ada yang duduk di atas ribaan dan ada yang memegang tangan Hani untuk berdiri. Mereka memeluk Hani dengan erat. Hani hampir menitiskan air mata.

    Dicubanya sedaya upaya tenaganya untuk memeluk budak-budak itu, tapi tangannya seakan-akan diikat dan dia tidak mampu untuk memeluk dan mencium mereka.

    Budak-budak itu kian galak memanggil-manggil ‘Mama’ mereka. Melihat mereka tidak dipedulikan, budak-budak itu menangis sayu seperti budak kecil yang menangis meminta peluk dari kesejukan. Namun apalah daya Hani, dia tidak mampu untuk menggerakkan tangannya apatah lagi tubuhnya walaupun meronta-ronta untuk membelai anak-anak kecil itu.

    Tiba-tiba ketiga-tiga budak itu diam dari tangisannya lalu duduk di hadapan Hani sambil memandang muka Hani dengan tajam dan bengis. Mata mereka berkilau seperti menyimpan darah dan dendam. Hani merasa ngeri dipandang seperti itu. Dia ketakutan dan ingin menjerit meminta pertolongan tapi suaranya seakan tersekat di kerongkong.

    Dengan tidak disangka-sangka, budak-budak itu menerkam Hani dengan ganas. Mereka mengigit dan menyiat-nyiat perut Hani. Mereka memakan organ-organ yang terdapat di dalam perutnya. Hani menjerit dan menangis ketakutan serta kesakitan yang tidak pernah dirasainya selama ini. Budak-budak itu terus sahaja memakan dan mengoyak-ngoyakkan perut Hani tanpa belas kasihan dan tidak mempedulikan jeritannya.

    Salah seorang daripada budak itu menyeluk dan mengeluarkan saluran peranakan Hani lalu mencampakkannya ke lantai. Salah seorang daripada budak itu menerkam ke tempat saluran peranakan Hani yang tergolek di lantai itu lalu disiat-siatkannya sehingga hancur lumat. Darahnya memercik di sana sini.

    Melihat saluran peranakannya dibuang dan disiat-siat begitu Hani semakin kuat menjerit dan menangis. Dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan dirinya kerana badannya seakan terpaku di bumi. Keadaannya semakin lemah dan tidak berdaya.

    Budak-budak itu masih lagi meneruskan perbuatan mereka. Setelah berasa dirinya tidak mempunyai harapan lagi, barulah Hani terkenangkan untuk meminta pertolongan dari Allah SWT. Dengan nada suara yang lemah, Hani menjerit menyebut, “Subahanallah…” berulang kali.

    Azman yang sedang lena diulit mimpi terjaga dari tidurnya bila badannya bergoyang-goyang dan mendengar jeritan isterinya meminta pertolongan. Dilihatnya Hani menangis tersesak-esak dan mukanya pucat lesi seperti menahan ketakutan dan menyaksikan sesuatu yang mengerikan.

    “Hani! Hani! Bangunlah. Mengapa menjerit malam-malam buta ni?” Bagai terkena kejutan elektrik, Hani terjaga dari tidurnya.

    Bajunya basah oleh peluh. Matanya bengkak selepas menangis tidak henti-henti dan peluhnya masih lagi bercucuran di dahi. Tanpa mempedulikan Azman yang termangu-mangu menyaksikan keolahannya dan masih menanti-nanti jawapannya, Hani memandang di sekelilinganya dengan tajam. Dia mencari-cari jikalau budak-budak itu berada di dalam bilik tidurnya. Tapi tiada kecuali diri dan suaminya, Azman.

    Tiba-tiba Hani teringatkan perutnya yang dirobek dengan ganas oleh budak-budak kecil itu.

    Lalu diselaknya baju tidur yang sedang dipakainya hingga menampakkan perutnya yang kempis dan rata itu. Diamati dan di beleknya dengan berhati-hati. Tidak terdapat luka walau sedikit pun, masih utuh seperti sebelumnya. Tidak robek dan berdarah walau sedikitpun seperti di dalam mimpinya.

    “Kenapa ni, Yang? Mengigau ke?” tanya Azman setelah pertanyaan tidak dijawab.

    “Syukur Alhamdulilah, Hani selamat rupanya,” ujarnya lagi.

    “Apa yang selamat?” tanya Azman lagi kerana tidak faham maksud isterinya itu.

    “Bang! Baru kini Hani sedar akan dosa-dosa yang kita lakukan dahulu. Mungkin inilah balasan yang hendak Allah tunjukkan kepada kita. Sudah puas kita berubat ke sana ke mari namun semuanya sia-sia. Ternyata kuasa Allah itu melebihi segalanya. Dari mimpi itu Hani dapat pengajarannya,” katanya.

    “Apa yang sayang maksudkan ni, abang tak fahamlah.Sudahlah bukankah mimpi itu semua mainan tidur. Buat apa sayang nak percaya benda karut marut itu,” ujarnya.

    Melihat suaminya yang masih tidak faham apa maksudnya, Hani pun menceritakan mimpinya itu. Namun yang membuatkan Hani kesal ialah Azman langsung tidak mempercayai mimpinya itu. Lalu dia menyuruh Hani tidur dan menenangkan fikirannya.

    Baginya mimpi Hani itu adalah mainan tidur dan itu terjadi kerana Hani terlalu memikirkan zuriat. Azman langsung tidak memikirkan pengajaran yang dapat di ambil dari mimpi itu.

    Akhirnya kisah mimpi itu hilang dengan sendirinya. Hani pun seakan-akan lupa dengan mimpinya akibat kesibukan mereka dalam tugas masing-masing. Dua bulan lepas mimpi Hani yang mengerikan itu, sesuatu yang tidak terduga terjadi dalam kehidupan seharian mereka. Suatu malam, Azman tidur lewat kerana menyiapkan kerja-kerjanya yang terpaksa disiapkan secepatnya.

    Manakala Hani pula sedang tidur dengan lena setelah menyiapkan seteko kopi pekat untuk Azman.

    Untuk mengelakkan mengantuk dan kesunyian Azman memasang radio yang mendendangkan lagu-lagu masa kini. Nasib baik stesen radio itu bekerja 24 jam setiap hari, dapat juga menghilangkan mengantuk yang menyerang mata Azman.

    Sedang Azman meneliti kertas-kertas kerjanya, telinga Azman menangkap bunyi suara tangisan kanak-kanak yang sungguh sayu. Pada mulanya Azman tidak mengendahkan suara tangisan itu tapi apabila suara tangisan itu semakin lama semakin hampir bunyinya membuat bulu roma Azman meremang dan bulu tengkuknya berdiri.

    Untuk menyedapkan hati, Azman berkata sendirian dalam hatinya bahawa suara tangisan tersebut datangnya dari rumah sebelah. Kebetulan sekali malam itu hujan turun renyai-renyai dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sudah tentu suara tangisan itu adalah tangisan dari anak kecil jiran tetangganya yang dibawa oleh angin bayu.

    Semakin Azman cuba mengalihkan ingatannya dari suara tangisan anak damit itu, semakin jelas kedengaran di cuping telinganya. Mengapa ibu anak itu tidak berusaha untuk memujuk anaknya yang menangis tu? Bisik hati kecil Azman. Hatinya menjadi tidak tenang dan terasa goyah. Kerjanya tidak dapat disiapkan secepatnya walaupun cuma tinggal sedikit sahaja lagi.

    Suara tangisan anak damit itu semakin hampir kedengarannya seakan-akan anak damit tersebut berada di rumah itu. Suara itu bukan satu tetapi seperti suara tiga orang budak kecil yang menangis bersahut-sahutan. Takkanlah ada orang yang meninggalkan anaknya di halaman rumah ini.

    Tetapi manalah tahu ada orang yang membuang anaknya di kawasan rumahku, kata hati Azman lagi. Takkanlah Hani tidak sedar dengan bunyi tangisan itu. Sedangkan Azman sendiri berasa telinganya bingit dengan tangisan budak kecil yang bersahutan itu. Tidur mati agaknya isteri aku ni. Lalu Azman keluar dari bilik kerjanya dan terus menuju ke bilik tidur-nya untuk melihat sama ada Hani terjaga atau tidak. Setelah pintu biliknya terkuak sedikit Azman mendapati Hani sedang tertidur pulas seperti tidak terdengar bunyi bising itu.

    Secara perlahan-lahan Azman menutup kembali pintu bilik tidurnya. Dia tidak berniat untuk mengejutkan Hani yang sedang tidur nyenyak itu. Sedang Azman berdiri di hadapan biliknya, hatinya seperti digamit sesuatu untuk turun ke ruang tamu rumahnya di tingkat bawah. Kakinya seakan-akan dipaksa untuk melangkah walaupun hatinya terasa berat. Di dalam hatinya tertanya-tanya, bermimpikah aku?

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda