Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada zuriat, angkara dosa silam

    Oleh Aima Aidi –

    (BAHAGIAN DUA)

    Setelah sampai di ruang tamu yang hanya diterangi dengan lampu dinding yang kecil, Azman berasa jantungnya seperti gugur.

    Hatinya berdebar-debar dan ketakutan menguasai dirinya. Di atas sofa Azman melihat tiga budak kecil yang comel sedang duduk sambil menangis. Seluruh badan mereka yang bogel itu dilumuri dengan darah pekat. Anak siapakah mereka ini? Bagaimana mereka boleh berada di dalam rumah ini? Pelbagai pertanyaan bermain di benaknya.

    Ketiga-tiga budak itu kemudiannya merangkak turun dari sofa lalu memanggil Azman dengan panggilan ‘Papa’. Mereka merangkak dan mengengsot perlahan-lahan menghampiri Azman yang berdiri kaku di hadapan tangga.

    Kaki Azman seperti terpaku di lantai rumahnya. Dia tidak dapat lari dari tempat itu.

    Badannya seperti patung yang kaku, hanya bola matanya saja yang mampu bergerak menyaksikan ketiga-tiga budak kecil itu kian menghampirinya.

    Gambar Freepik

    Bau darah yang hamis dan busuk itu menusuk ke rongga hidungnya. Tekak Azman merasa sangat loya. Budak-budak kecil itu kini berada di hujung kaki Azman. Mereka merengek-rengek seperti meminta pengertian Azman agar mendukung dan mendakap mereka.

    Azman semakin takut hinggakan badannya tidak dapat bergerak langsung. Dia hanya terpaku tanpa dapat berbuat sesuatu.

    Rengekan dan tangisan budak-budak itu nyaring dan sayu. Salah seorang daripada mereka menggesel-geselkan badannya di kaki Azman. Ada pula yang berdiri sambil memeluk kakinya. Tangisan dan jeritan memanggil ‘Papa’ bergema di segenap penjuru rumah seakan meminta simpati dan kasihan daripada ‘Papa’ mereka.

    Melihatkan diri mereka tidak dipeduli, budak-budak itu berhenti menangis dan menjerit.

    Mereka bertiga duduk bersimpuh di hadapan Azman sambil merenung mukanya dengan tatapan yang tajam dan bengis. Muka mereka penuh rasa kebencian dan juga dendam yang membara.

    Azman menjadi semakin ngeri melihat telatah budak-budak itu. Kerana ketakutan, Azman tidak mampu membaca mana-mana surah Al-Quran, semuanya seakan hilang daripada ingatan apatah lagi selama ini dia tidak pernah mengamalkan ajaran agama Islam.

    Di dalam hati Azman ingin sekali menjerit memanggil nama isterinya tapi jeritan itu tidak mampu terkeluar hanya bergema di sudut hatinya sahaja. Tidak lama kemudian budak-budak tersebut merangkak menghampiri Azman.

    Dengan tidak semena-mena mereka melompat dan menggigit kaki dan tangan Azman sehingga darah memercik di atas lantai marmarnya. Segala urat saraf di kaki dan tangannya putus hingga menampakkan isi dagingnya yang berwarna kemerah-merahan.

    Azman menjerit kesakitan. Di dalam hatinya berdoa agar isterinya turun dari tingkat atas dan menyelamatkan dirinya dari kematian dan gangguan budak-budak tersebut.

    Namun semuanya hampa, Hani sedang tidur dengan lena tanpa menyedari segala yang menimpa ke atas suaminya. Badan Azman semakin lemah dan tidak berdaya. Akhirnya dia terjelempok ke lantai dalam keadaan yang sungguh mengerikan.

    Manakala budak-budak tersebut duduk bersimpuh di hadapannya sambil ketawa mendapatkan barang mainan yang dihajatinya. Muka mereka kelihatan comot dengan percikan darah dan juga segala urat-urat Azman yang telah putus digigit oleh mereka.

    Dengan sisa kekuatan yang ada Azman cuba menjerit meminta pertolongan. Dengan takdir Allah SWT Azman mampu mengeluarkan suaranya yang dari tadi tersekat di kerongkong.

    Dia menjeritkan kalimah Allah berulang kali walaupun dalam keadaan lemah.

    Kalimah ‘Subahanallah’ dan ‘Allahu Akhbar’ tidak pernah lekang dari bibirnya yang selama ini tidak pernah menyebut kalimah-kalimah tersebut. Baru kini dia sedar kekuasaan Allah melebihi segalanya.

    Selama ini dia alpa dengan hidup keduniaan dan kemodenan.

    Hani yang sedang nyenyak tidur di biliknya terjaga dari lenanya apabila mendengar jeritan Azman itu. Hani bingkas dari katilnya lalu menuju ke ruang kerja suaminya untuk melihat keadaan suaminya yang menjerit seperti ketakutan itu. Setelah dilihatnya Azman tidak ada di ruang kerja, Hani berlari lagi menuju ke seluruh bilik di tingkat atas rumah termasuk ke bilik-bilik air. Namun Azman tidak juga ditemui.

    Menitis air mata Hani mengenangkan di mana suaminya berada.

    Akibat terbangun daripada tidurnya, dia tidak terfikir untuk menjenguk ke tingkat bawah.

    Hani duduk di tingkat atas tangga rumahnya sambil menangis teresak-esak.

    Memandangkan keadaan tangga rumahnya yang berlingkar membuatkan Hani tidak dapat melihat Azman yang sedang tergolek lemah berhampiran dengan tangga di tingkat bawah.

    Sayup-sayup kedengaran jeritan Azman yang lemah dari tingkat bawah. Hani menajamkan telinganya sambil mencari-cari di mana kelibat suaminya. Setelah pasti suara suaminya itu datangnya dari tingkat bawah, Hani pun bergegas turun. Baru sahaja sampai di pertengahan anak tangga, Hani terkejut melihat suaminya yang tergolek tidak sedarkan diri. Ditepuk-tepuknya lembut pipi Azman untuk menyedarkannya. Selang lima minit kemudian barulah Azman sedar daripada pengsannya. Seperti keadaan Hani dahulu begitu jugalah dengan Azman.

    Dengan keadaan badannya yang lemah dan tidak berdaya dia melihat di sekeliling ruang tamu tersebut mencari kelibat ketiga-tiga budak kecil yang dilihatnya sebentar tadi.

    Bajunya habis basah oleh peluh yang bercucuran. Tiada sesiapa di situ kecuali Hani yang sedang memangku kepalanya sambil menangis teresak-esak.

    “Bermimpikah aku tadi? Bukan! Itu semua bukan mimpi. Kalau aku bermimpi takkanlah aku berada di ruang tamu ini, sudah tentunya aka berada di ruang kerja di tingkat atas. Ini semua pasti realiti,” bisik hati kecil Azman. Dilihatnya kaki dan tangannya masih lagi utuh seperti sebelumnya, tidak koyak rabak dan tiada urat saraf yang putus.

    Tiada darah memercik di sana sini.

    “Apa yang telah terjadi? Di manakah budak-budak itu tadi? Takkanlah mereka dapat melarikan diri tanpa disedari oleh Hani,” ujar Azman.

    “Kenapa ni bang? Apa yang abang buat kat ruang tamu ni di tengah malam begini?” soal Hani.

    “Yang! Nampak tak tiga orang budak kecil kat ruang tamu rumah kita ni tadi?” tanya Azman.

    “Tiga orang budak kecil? Tak adalah, sewaktu Hani turun dari tingkat atas Hani tak nampak sesiapa pun kecuali abang yang tergelatak seorang diri. Kenapa bang? Siapa budak itu?” tanya Hani lagi.

    “Entahlah! Tapi tadi budak-budak kecil tersebut menerkam abang dan menyiat-nyiat kaki dan tangan abang sehingga segala urat saraf abang terputus dan hancur berkecai. Tapi kini abang dapati tidak ada tanda-tanda apa pun yang boleh mengesahkan kenyataan tersebut.

    Abang bermimpi agaknya,” kata Azman.

    “Apa? Tiga orang budak kecil menerkam dan membunuh abang? Bang, Hani rasa mimpi abang tu sama dengan mimpi yang Hani alami tidak lama dahulu. Agaknya inilah balasan terhadap kita, bang,” kata Hani.

    “Mungkin juga. Dahlah tu tolong ambilkan abang air suam segelas. Biar tenang hati abang ni,” pinta Azman dengan suara yang lemah. Hani pun bergegas pergi ke dapur mengambil segelas air minum. Setelah minum barulah perasaan Azman terasa tenang dan badannya pun tidaklah menggeletar seperti tadi.

    Melihat keadaan suaminya yang tidak tenang Hani pun menyambung pertanyaannya lagi tentang apa yang telah terjadi.

    Azman pun menyambung kisah yang telah dialaminya tanpa melebihi atau meninggalkan sedikit pun. Kini barulah Hani dan Azman sedar dan terkenangkan segala kesalahan dan dosa yang telah mereka lakukan selama ini. Selama ini mereka seakan lupa kebesaran Allah SWT.

    Mereka lalai dengan mainan duniawi. Baru sekarang mereka sedar tentang perbuatan nista dan durjana mereka semasa masih lagi berkasih-kasihan dulu.

    Mimpi yang telah Hani dan Azman lalui tidak berhenti setakat itu sahaja, beberapa hari kemudian suara tangisan anak damit kecil bergema lagi di dalam rumah mereka. Di seluruh pelusuk rumah suara tangisan tersebut kedengaran hingga Hani dan Azman merasa takut tinggal di rumah sendiri.

    Yang anehnya suara tangisan anak damit itu hanya berlaku sepanjang malam. Hani dan Azman tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun kerana suara tangisan itu menganggu kehidupan mereka.

    Ada kalanya mereka seperti melihat tiga orang budak keil sedang bermain di sudut bilik tidur mereka.

    Pernah juga terjadi sewaktu Azman dan Hani cuba melelapkan mata mereka terasa seperti ada tangan kecil yang sejuk dan kaku menggengam jemari mereka.

    Ini membuatkan mereka berasa tidak lama tinggal di rumah. Hani dan Azman sentiasa sahaja lemah hendak pergi bekerja memandangkan mereka sudah beberapa malam tidak dapat tidur dengan nyenyak.

    Akhirnya setelah tidak tertahan dengan gangguan tersebut, mereka pergi ke sebuah kampung dan berjumpa dengan seorang imam yang telah diketahui kepandaian dan keahliannya dalam bidang agama.

    “Begini Pak Imam, kedatangan kami ini sebenarnya membawa suatu hajat besar.

    Sepanjang perkahwinan kami selama tiga tahun lalu, baru kini dalam sebulan dua ini hidup kami tidak merasa tenteram.

    “Kami asyik diganggu oleh suara tangisan budak kecil di seluruh pelusuk rumah. Bukan cuma satu tanggisan tapi tiga tanggisan budak sekaligus. Tolonglah kami Pak Imam. Tak sanggup rasanya kami tinggal di rumah tersebut lama-lama. Bantulah kami berdua Pak Imam, dengan cara apa sekalipun,” kata Azman dengan suara yang sayu.

    “Saya faham perasaan awak. Sebelum awak datang ke rumah ini pun saya dah merasa getarannya. Seminggu lamanya rumah awak ini diganggu dengan suara tanggisan budak kecil. Dan sewaktu awak sampai tadi saya melihat tiga orang budak kecil duduk bertenggek di hadapan enjin kereta awak,” ujarnya.

    Mendengar penjelasan Pak Imam itu membuatkan Hani dan Azman ketakutan. Badan mereka terasa seram sejuk. Mereka memandang sekeliling seperti mencari sesuatu.

    “Jangan takut, berserahlah kepada Allah SWT. Kalau awak sedar dan insaf sejak dahulu lagi semua ini tidak akan berlaku. Tahukah awak berdua ini semua terjadi angkara perbuatan durjana awak berdua sebelum berumahtangga dahulu? Tak payah awak ceritakan kisah silam dahulu, saya mengerti. Memang hidup ini banyak dugaannya.

    “Tidak ada sesiapa yang mampu mengawalnya kecuali diri kita sendiri.

    “Di antara seorang teruna dan seorang dara yang sedang mahsyuk berkasihan, di tengahnya adalah iblis. Kalau kita tidak berusaha untuk menjaga diri dan kehormatan masing-masing, begitulah jadinya. Darah muda memang manis. Apa yang diharamkan oleh Allah SWT itulah yang terasa lazat bagi mereka,” tutur Pak Imam dengan lembut.

    “Begini sajalah membuka pekung di dada sendiri memang tidak digalakkan oleh agama.

    Saya harap awak berdua bertaubat nasuhalah.Insafilah segala kesalahan yang telah awak berdua lakukan,” tambahnya.

    “Sembahyang dan membaca Al-Quran serta membuat amalan baik adalah ubat bagi segala bencana. Jangan ketepikan Allah walau di mana juga kalian berada. Dan perbanyakkanlah bersedekah dan membaca doa selamat semoga kalian selamat di dunia dan akhirat.

    “Sekarang pulanglah dan bertakwalah kepada Allah dan jangan lupa mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala larangNya,” kata Pak Imam lagi sambil mengakhiri perbualan mereka.

    Sejak bertemu dan mendengar nasihat Pak Imam barulah kehidupan mereka tenang.
    Setiap hari mereka bersembahyang dan membaca Al-Quran bersama-sama. Mereka tidak lupa bertahlil dan membaca doa selamat setiap malam Jumaat.

    Sejak perubahan yang dilakukan, tiada lagi kedengaran suara tangisan budak-budak kecil yang mana merupakan tangisan dari anak mereka yang telah digugurkan dahulu.

    Kini Azman dan Hani hidup bahagia walaupun setelah sepuluh tahun mendirikan rumahtangga mereka tidak dikurniakan seorang pun cahaya mata.

    Untuk tidak merasakan kesepian dan kebosanan terhadap pasangan masing-masing, mereka mengangkat seorang anak perempuan yang diberi nama Nur Syuhadah. Anak kecil tersebut adalah cucu kepada Pak Imam ketika meminta nasihat dahulu.

    Pak Imam berasa kasihan melihat hidup mereka yang sunyi daripada tangisan anak kecil lalu dia memberikan seorang cucunya kepada pasangan tersebut untuk dijaga.

    Kisah ini menjadi pedoman dan pengajaran kepada kita semua bahawa perbuatan zina itu adalah haram dan berdosa besar di sisi ajaran agama Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda