Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tian Chua lawat Sabah selepas larangan ditarik balik

    PENAMPANG, 31 Mei – Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini berkata beliau gembira dapat menjejakkan kaki di bumi Sabah selepas larangan untuk beliau melawat negeri ini sejak 2015 ditarik balik selepas kerajaan negeri yang baharu mengambil alih pentadbiran.

    Katanya beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah yang baharu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang telah mengeluarkan namanya daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Sabah, bersama-sama  dengan nama seorang lagi Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

    “Saya tiba di Kota Kinabalu semalam dan menghadiri program Kaamatan  pada sebelah pagi dan hari ini, saya sekali lagi menghadiri kemuncak Pesta Kaamatan,” katanya semasa ditemui pemberita di pesta itu di sini.

    Tian  Chua, yang merupakan bekas MP Batu di Kuala Lumpur, juga berkata beliau akan mengambil peluang daripada lawatannya di sini untuk secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Mohd Shafie kerana menarik balik larangan itu dan akan membantu kerajaan negeri yang baharu dalam memperkukuhkan hubungannya dengan kerajaan Pakatan Harapan persekutuan.

    Pada November 2015, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan usul melarang Nurul Izzah dan Tian Chua daripada memasuki Sabah susulan pertemuan antara dua naib presiden PKR itu dengan Jacel  Kiram, anak Jamalul Kiram yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu, yang telah mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada Februari 2013.

    Mohd Shafie menarik balik larangan itu pada 14 Mei. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda