Oleh Noorazlina Jindeh & Syed Iylia Hariz Al-Qadri
KUALA LUMPUR – Dua tiang dipenuhi ukiran unik teguh berdiri seolah-olah ‘menyambut’ kedatangan pengunjung di halaman Balai Seni Negara di sini.
Tetapi, tahukah anda ada kisah tersurat di sebaliknya?
Dikenali sebagai klirieng, dua tiang setinggi 35 kaki itu sebenarnya didirikan khas bagi memperingati tradisi etnik Orang Ulu di Sarawak yang menggunakan tiang itu sebagai kuburan golongan diraja atau bangsawan sebelum kedatangan British.
Malah, ukiran pelbagai motif seperti tumbuhan, buaya, naga, topeng serta figura hantu pada tiang itu juga merupakan ritual dan menghormati kematian raja-raja masyarakat Orang Ulu.
Pengarah Bahagian Media, Balai Seni Negara Alizam Hasan berkata semasa proses mendirikan tiang itu dilakukan pada 2008, pihaknya membawa khas pengukir dari Rumah Panjang Kajaman, Long Segaham, Belaga, Sarawak bernama Jelan Asoh untuk mengabadikan hasil seninya di atas dua batang kayu balak cengal.

“Memandangkan kami mahu menghasilkan tiang klirieng yang asli daripada etnik Orang Ulu, kami membawa Bapak Jelan yang benar-benar mahir mengukir. Kedua-dua batang kayu itu pula dibawa dari Tanjung Malim, Perak manakala peralatan mengukir dibawa khas dari Sarawak,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Menurut Alizam, Jelan yang berusia 70 tahun pada ketika itu membuat ukiran bersama tiga pembantunya iaitu Pagang Tinyam, Shafiee Harun dan Hamdani Louis disertai dua pelatih, Anwar Ghawi dan Azli Abdul Ghani.
Dilakukan secara bergotong royong
Tambahnya, proses ukiran memakan masa hampir tiga minggu untuk disiapkan dengan keseluruhan kos kira-kira RM80,000.
Pada zaman dahulu, proses mengukir serta menegakkan klirieng yang telah siap, dilakukan secara bergotong-royong. Malah, hamba perempuan atau lelaki kepada raja yang meninggal dunia itu juga akan ditanam bersama-sama klirieng sebagai satu lambang pengorbanan.
Namun, kini pembuatan klirieng tidak lagi diusahakan secara ritual seperti asalnya selepas arus pemodenan dan faktor agama semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Orang Ulu.
Mengulas lanjut mengenai tiang klirieng di Balai Seni Negara, Alizam berkata satu daripadanya mempunyai lubang di bahagian atas bagi menggambarkan kegunaan ruang itu pada zaman dahulu untuk menyimpan tulang-tulang golongan bangsawan atau raja yang telah meninggal dunia.
“Corak yang digunakan pada tiang itu turut menggunakan ukiran wajah hantu dan tumbuh-tumbuhan yang merupakan antara ukiran Orang Ulu yang terdiri daripada 25 etnik,” katanya yang turut terlibat secara langsung dalam proses pembinaan tiang itu pada 2008.
Alizam berkata dalam usaha untuk mengekalkan wadah warisan generasi terdahulu, Balai Seni Negara mengambil inisiatif itu supaya generasi pada masa kini tahu menghargai ukiran yang semakin kurang diberi perhatian. – Bernama