BEIJING, 31 JAN – Menjelang ambang Tahun Baharu Cina (TBC), prob penyelidikan Tianwen-1 mengirim video yang dirakam oleh kamera “swafoto” khas dari orbit Marikh untuk menyampaikan ucapan TBC kepada seluruh rakyat China.
Set kamera yang dipasang pada penghujung “tongkat swafoto” itu merupakan alat direka khas untuk tujuan pemantauan dan mengkaji status komponen penting di luar prob penyelidikan tersebut.
Sehingga 31 Januari 2022, Tianwen-1 telah berada di orbit selama 557 hari dengan jarak kira-kira 325 juta kilometer dari Bumi, manakala kenderaan perayau Zhurong pula telah beroperasi selama 255 hari di Marikh dan mengembara sejauh 1,524 meter.
Pada masa sama, Tianwen-1 telah menghantar kembali kira-kira 600 gigabit data saintifik asal, dan kedua-dua peralatan berada dalam keadaan baik serta beroperasi secara normal. – Bernama
