Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Tianzhou-2 berpisah dari modul teras stesen angkasa

    BEIJING, 28 MAC  – Kapal angkasa kargo China Tianzhou-2 dipisahkan dari modul teras Stesen Angkasa Tianhe selepas menyelesaikan semua tugas, lapor agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA) kelmarin.

    Untuk rekod, Tianzhou-2 adalah kapal angkasa kargo China pertama yang dihantar ke angkasa dalam fasa penentuan teknologi utama stesen angkasa negara ini.

    Kapal  kargo itu dilancarkan dari pusat pelancaran Wenchang, provinsi Hainan pada 29 Mei 2021 untuk misi penghantaran bekalan seberat 6.8 tan ke modul teras kapal angkasa Tianhe.

    Semasa operasinya di Orbit, beberapa siri ujian aplikasi berjaya dijalankan termasuk memisahkan kapal kargo dari pangkalan cantum belakang Tianhe dan kemudiannya dicantumkan dengan pangkalan cantum bahagian depannya pada 18 September. Pada 6 Januari lengan robot yang terpasang pada stesen angkasa bercantum dan memindahkan  kapal kargo.

    Kemudian proses itu diikuti de-ngan angkasawan mengendalikan kapal kargo dicantum dengan stesen angkasa lepas melalui alat kawalan jarak jauh pada 8 Januari.

    Kapal kargo kini berada dalam keadaan baik, dan akan memasuki atmosfera Bumi pada masa yang sesuai di bawah kawalan dari Bumi.

    Ia secara tidak langsung turut menandakan bahawa tiga angkasawan China yang telah bertugas di angkasa lepas selama lebih lima bulan akan kembali ke Bumi.

    Sepanjang keberadaan di angkasa, ketiga-tiga mereka telah melakukan aktiviti luar kenderaan dan berkesempatan mengadakan ‘Kuliah Tiangong’ sebanyak dua kali serta menyelesaikan lebih 20 ujian saintifik. Menurut ketua pereka bentuk projek aeroangkasa pembawa angkasawan, Zhou Jianping, mulai Mei tahun ini, pembinaan stesen angkasa China akan diteruskan melalui pelancaran dua modul makmal, dua kapal pembawa angkasawan dan dua kapal kargo.

    Difahamkan, enam angkasawan dijangka akan dihantar bertugas di angkasa lepas.

    Menurut Kertas Putih Angkasa Lepas China 2021 yang diumumkan pada 28 Januari, pembangunan industri aeroangkasa merupakan komponen penting dalam strategi pembangunan keseluruhan negara China. Jelas kertas putih itu lagi, China juga komited membangunkan sektor tersebut dengan berpegang pada prinsip penerokaan dan penggunaan angkasa lepas untuk tujuan aman bagi memberi perkhidmatan ke arah kesejahteraan manusia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...