Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tianzhou-2 tiba di modul stesen angkasa lepas

    BEIJING, 30 MEI – Sebuah kapal angkasa kargo China yang membawa peralatan dan bekalan berjaya bercantum dengan modul teras stesen angkasa lepas baharu negara hari ini, menurut media negeri.

    Roket Long March 7 yang membawa kapal kargo Tianzhou-2 – sarat dengan barangan asas seperti makanan, peralatan dan bahan api – dilancarkan lewat semalam dari tapak pelancaran Wenchang di selatan pulau tropika Hainan, lapor agensi berita Xinhua.

    Percantuman dengan modul teras stesen angkasa lepas Tianhe mengambil masa kira-kira lapan jam untuk melengkapkan proses bertemu dan bercantum secara automasi dan selesai pada pukul 5:01 pagi waktu Beijing, kata agensi, memetik Agensi Angkasa Lepas China (CMSA).

    China perlu menjalankan kira-kira 10 misi pada keseluruhannya untuk melengkapkan pemasangan stesen angkasa lepas baharu, dinamakan Tiangong, bermakna ‘istana syurga’ di orbit.

    Stesen tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2022. Sebaik sahaja siap, ia dijangka berada di orbit Bumi sehingga 15 tahun.

    Roket Long March 7 yang membawa kapal angkasa lepas Tianzhou-2 berlepas dari Pusat Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang di Wenchang, selatan wilayah Hainan pada 29 Mei 2021. – AP

    Dengan operasi Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa mungkin ditamatkan selepas 2028, Tiangong mungkin menjadi kota kara manusia sahaja di orbit Bumi.

    Memandangkan kapal kargo telah berlabuh sekarang, China merancang memulakan persediaan untuk menghantar tiga angkasawan untuk mengeluarkan bekalan, termasuk makanan, kata agensi.

    “Kami akan menghantar bahan bantuan, alat ganti dan peralatan terlebih dahulu, dan kemudian barulah kru kami,” Xinhua memetik pengarah CMSA Hao Chun sebagai berkata.

    “Dengan siapnya ujian ini, kru angkasawan yang pertama akan dihantar untuk menjalankan misi di stesen angkasa lepas.

    “Anak kapal berkenaan akan ditempatkan di modul teras untuk jangka panjang. Antara eksperimen yang bakal dilakukan oleh mereka termasuk cubaan keluar dari kabin, aktiviti di luar kabin dan kerja melengkapkan peralatan,” jelasnya. – AFP/Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda