Komposer terkenal Indonesia Yovie Widianto memperkenalkan semula lagu popularnya Tanpa Cinta dalam versi baharu, dinyanyikan oleh penyanyi muda berbakat Tiara Andini.
Menurut Yovie, kolaborasi itu menghidupkan semula kerjasama mereka selepas berganding tahun lalu.
“Lagu itu mengisahkan seseorang yang terluka kerana cintanya tidak berbalas dan orang yang dicintainya berpaling kepada orang lain serta menggambarkan perjuangan untuk meneruskan kehidupan dan menerima hakikat bahawa cinta itu sudah tidak dapat dimiliki,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Universal Music Malaysia.
Yovie turut berharap lagu itu bukan sahaja mengimbau kenangan versi asal, tetapi memberi makna baharu kepada generasi kini dalam menghadapi realiti cinta.
Sementara itu, Tiara menyatakan keterujaannya menyertai projek tersebut dan menyifatkan lagu berkenaan sebagai karya istimewa, selain tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan daripada Yovie.
Susunan muzik Tanpa Cinta masih mengekalkan elemen asal namun diberi nafas baharu yang lebih segar, manakala video muziknya pula menampilkan konsep teaterikal dengan sentuhan visual artistik arahan Prialangga.
Lagu yang pernah dipopularkan oleh Yovie pada 2009 itu kini boleh didengar di semua platform penstriman digital. – Bernama
