Haluan penyanyi popular Indonesia, Tiara Andini berubah apabila menampilkan single baharu berentak nuansa muzik tarian pop 1980an berjudul Kupu-Kupu.
Sebelum ini, penyanyi berusia 23 tahun itu tampil dengan karya unik menggabungkan elemen Jawa dan K-Pop menerusi single Ngeluwihi awal tahun ini, lapor BH Online.
Single Kupu-Kupu dihasilkan oleh Laleilmanino yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit. Lagu ini diterbitkan di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.
“Saat kali pertama dengar lagu ini saya terus jatuh cinta. Ini kerana nadanya sangat nyaman didengar walaupun single Kupu-Kupu sangat rancak.
“Lebih membuatkan saya teruja apabila single Kupu-Kupu ciptaan Laleil-manino yang cukup dikenali sebagai komposer lagu-lagu hit masa kini di Indonesia. Saya sangat suka bekerjasama dengannya,” ujar Tiara.
Tiara atau nama sebenarnya, Tiara Anugrah Eka Setyo Andini berkongsi, single Kupu-Kupu mengetengahkan kisah pasangan saling menyukai, tetapi tidak berani meluahkan perasaan cinta.
“Tahu kan? Kalau sedang suka, biasanya jadi sedikit takut untuk mengungkapkan perasaan. Ini terjadi kepada pasangan dalam kisah ini, sedangkan mereka saling menyukai,” ungkap Tiara.
Sementara itu, dari sudut suara, single Kupu-Kupu mengetengahkan genre nuansa tarian pop 80an yang sangat menyeronokkan, ceria dan menyenangkan.
“Saya pasti pelancaran single Kupu-Kupu dinantikan oleh ahli kelab peminat, Mootiara.
“Sebelum dikeluarkan, saya sudah memberikan banyak bayangan bertemakan kupu-kupu yang membuat peminat tertanya-tanya.
“Lebih istimewa, video muzik Kupu-Kupu menampilkan pelawak Indonesia, Dede Sunandar.
“Kehadiran Dede menambah keceriaan. Muzik video dihasilkan AVSLZM Production bersama Michael Budihardjo yang bertindak sebagai pengarah.
“Konsep muzik video dihasilkan dengan nuansa 1980an, vintaj. Penuh warna-warni, latar belakang diolah ceria, begitu juga tata busana,” katanya. – Agensi