LONDON, 9 NOV – Rio Ferdinand telah meminta Ole Gunnar Solskjaer melepaskan jawatan pengurus Manchester United selepas rentetan keputusan yang mengecewakan menyebabkan kelab itu ketinggalan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus Norway itu berada di bawah tekanan hebat selepas dibelasah Liverpool 5-0 di gelanggang sendiri dan kekalahan berat sebalah 2-0 di tangan ManchesterCity pada Sabtu lalu.
Ferdinand adalah salah seorang daripada bekas pemain United yang menyuarakan sokongan kepada bekas rakan sepasukannya, yang membawa kelab itu ke tempat kedua dalam liga musim lalu.
Bekas pemain pertahanan England itu berkata peminat memulakan musim dengan penuh harapan selepas pembelian berprofil tinggi, Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane sebelum keputusan menjunam.
“Saya duduk di sini dan saya tidak fikir kami boleh mencabar untuk memenangi liga ini,” kata Ferdinand dalam podcast, Vibe with Five.

“Saya melihat pasukan kami setiap minggu dan saya tertanya-tanya apa yang akan kami lakukan secara taktikal. Saya tidak nampak sebarang falsafah atau identiti dalam cara permainan, apa pun yang sepatutnya dari pihak pengurusan. Saya duduk di sini keliru, melihat pasukan tersebut.”
Ferdinand berkata United telah mencapai kemajuan yang bagus sepanjang hampir tiga tahun Solskjaer menerajui tetapi kini dia merasakan ada keperluan untuk perubahan.
“Saya sentiasa agak ragu-ragu dalam hati,” kata pemain berusia 43 tahun itu. “Bolehkah dia membawa kami menjadi juara? Saya tidak pasti, saya tidak yakin sepenuhnya – saya harap dia akan dapat melakukannya.
“Tetapi persembahan dengan pasukan yang dia kumpulkan, hingga awal musim ini – dan apa yang saya lihat musim ini – saya rasa mungkin sudah tiba masanya untuk jawatan tersebut diserahkan kepada orang lain yang boleh bawa kami sekarang.
“Dan saya fikir Ole akan pergi sekarang dengan bangga kerana sejak dia datang ke tempat dia membawa kami ke awal musim, saya rasa ia satu hal positif.” – AFP