Tiba masanya Messi tinggalkan Barca?

BARCELONA, 26 OGOS – Pemenang Ballon d’Or enam kali, Lionel Messi memberitahu Barcelona dia mahu meninggalkan kelab – secara percuma – menerusi faks ‘yang menggemparkan’ kelmarin dan mencetuskan perdebatan undang-undang mengenai klausa pembelian bernilai ratusan juta dolar.

Menandakan penghujung era di Barcelona, di mana Messi merupakan pemegang rekod jaringan terbanyak dan memenangi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali, pemain Argentina yang tidak berpuas hati itu ingin menamatkan kontraknya ‘secara sepihak’ dengan mengaktifkan klausa pelepasan, menurut sumber kepada AFP.

Hubungan yang semakin teruk tahun ini dan spekulasi mengenai Messi akan meninggalkan kelab selepas dimalukan 8-2 dalam suku akhir di Liga Juara-Juara, kekalahan di tangan Bayern Munich bulan ini, telah menyaksikan rekod Barca tanpa memenangi sebarang trofi buat kali pertama sejak 2007.

Permintaan pemain berusia 33 tahun, yang telah difakskan oleh peguamnya, mencetuskan protes terhadap presiden Barca, Josep Maria Bartomeu di luar Camp Nou di mana Messi, yang sinonim dengan tempoh kegemilangan bersama kelab, dipuja oleh penyokong.

“Saya tidak dapat membayangkan dia bermain di tempat lain. Saya tidak mempercayainya,” kata Ruben Tejero, 28, salah seorang dari 100 orang peminat yang berhimpun di luar stadium menyeru agar Bartomeu meletak jawatan.

Lionel Messi memberitahu Barcelona dia mahu meninggalkan kelab dan telah mencetuskan protes di luar Camp Nou yang mendesak presiden kelab mengundurkan diri. – AP

“Saya lebih suka menganggapnya sebagai amaran terakhir kepada pengurusan untuk melepaskan Bartomeu.”

Manchester City, Paris Saint-Germain dan Inter Milan antara kelab yang dikaitkan dengan Messi, yang menjadi pemain terhebat sepanjang zaman dan bayaran gaji yang perlu ditepati, dengan laporan menyebut gaji mingguan Messi menghampiri satu juta euro.

Barcelona masih belum membuat tindakan rasmi tetapi dipercayai klausa pelepasan Messi bakal mansuh pada bulan Jun dan dia kekal berada di bawah kontraknya hingga penghujung musim 2021.

“Secara prinsipnya, klausa ini tamat pada 10 Jun, tetapi disebabkan oleh musim yang terganggu oleh koronavirus telah memberikan jalan buat Messi untuk meminta dilepaskan dari kontraknya sekarang,” tulis akbar sukan Sepanyol, Marca.

“Ia adalah permulaan pertama ke arah membuka rundingan mengenai pemergiannya, berdasarkan klausa pelepasannya berjumlah 700 juta euro.” – AFP