Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tic-Tac-Toe kayu projek cuti sekolah

    Oleh Amri HTZ

    Musim cuti sekolah merupakan suatu yang dinanti-nantikan oleh para pelajar mahupun ibu bapa atau penjaga di mana mereka dapat meluangkan masa bersama menikmati waktu rehat bersama.

    Masa terluang pada musim tersebut biasanya diisikan dengan melaksanakan aktiviti luar atau melancong ke sesebuah destinasi, namun ia juga boleh diisikan dengan meluangkan masa bersama keluarga menyelesaikan sesebuah projek. Selain dapat memenuhi masa dengan aktiviti berfaedah, permainan tersebut juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

    Persiapan awal sebelum projek

    Tugasan kali ini akan membawakan awda mereka sebuah alat permainan yang boleh dijadikan projek rekaan bersama ahli keluarga. Sebelum memulakan proses rekaan, terlebih dahulu sediakan peralatan seperti mesin pemotong kayu, mesin bandsaw atau skrol, sekeping papan dengan ketebalan 1 inci dan lebar 8 inci, mesin router, mesin pelelas orbit, kertas pasir (ukuran 120,220 dan 600 grit), cat atau wood stain pilihan, pita pengukur, pensel, kertas (untuk lakaran) dan mesin pemotong laser berserta perisian diperlukan (pilihan).

    Rekaan yang ringkas namun perlu perhatian

    Papan yang tersedia terlebih dahulu perlu diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam kayu. Langkah ini bagi membuangkan permukaan yang tidak sekata mahupun kasar sebelum membolehkan awda melakar atau melekatkan templat pada permukaannya.

    Setelah meratakan permukaan kayu, ia kemudiannya akan dipotong dengan ukuran 7 inci x 7 inci bagi tiga bahagian.

    Permukaan kayu yang telah diukir meng-gunakan mesin router. – Agensi
    Permukaan utama bahagian penutup yang telah diberikan corak pilihan. – Agensi
    Bahagian-bahagian papan permainan yang telah digosok menggunakan kertas pasir. – Agensi
    Langkah pemotongan kayu menggunakan mesin jenis meja. – Agensi
    lakaran bentuk dan ukuran yang dilakukan di atas sekeping kertas sebelum melakarkannya terus pada permukaan papan atau menggunakan templat.

    Tiga bahagian tersebut mengandungi kayu dengan ketebalan 1 inci dan 3/8 inci serta 1/2 inci. Bahagian dengan ketebalan 1 inci akan dijadikan bahagian papan permainan utama sementara 3/8 inci akan dijadikan bahagian penutup, manakala 1/2 inci pula sebagai buah permainan.

    Mula-mula lakar bentuk buah pada permukaan kayu tersedia atau kertas menggunakan pensel. Buah berbentuk O akan mempunyai diameter tengah 31.75 milimeter (mm), diameter luar 38.1mm dengan lebar 6.35mm. Sementara itu bagi buah berbentuk X, ketinggian dan panjangnya adalah berukuran 38.1mm dengan lebarnya sama seperti bentuk O, 6.35mm.

    Setelah melakarkannya atas permukaan kayu berketebalan 1/2 inci, potong bentuk tersebut dengan menggunakan mesin bandsaw atau skrol.

    Jika mesin bandsaw digunakan, ia hanya boleh memotong bahagian luaran sesebuah bentuk dan bukan bahagian dalaman tanpa perlu memotongkannya. Ini bermakna, untuk bahagian dalaman bentuk O, memerlukan awda menggunakan mesin skrol atau fret saw secara manual.

    Bagi bahagian papan permainan utama (tebal 1 inci), ia akan direka dengan ruangan berpetak yang membolehkan awda menempatkan bentuk X dan O di dalamnya ketika memainkannya. Sembilan petak berukuran 50.8mm x50.8mm akan dibentuk menggunakan mesin router menerusi straight bit.

    Namun terlebih dahulu awda perlu melakarkan bentuknya pada permukaan kayu atau menerusi kertas sebagai templat.

    Mula-mula lakar bentuk empat segi dengan kedudukan vertikal untuk tiga petak dan horizontal dengan jumlah yang sama. Berikan ruangan 6.35mm daripada bahagian sisi kiri dan kanan termasuk atas dan bawah sebelum melakarkan petak-petak diperlukan.

    Di dalam petak tersebut, akan terdapat bentuk khusus hasil gabungan O dan X. Ukurannya adalah sama seperti sebelumnya (buah permainan yang telah dipotong) di mana ruangan dengan bentuk gabungan ini direka bertujuan untuk memastikan buah yang ditempatkan kekal pada kedudukan ketika dimainkan mahupun disimpan.

    Kedalaman ruangan berbentuk gabungan X dan O tersebut lebih kurang 19.05mm (pada awalnya). Reka bentuk sama dalam kawasan keseluruhan petak yang telah dilakar.

    Setelah meloreknya menggunakan mesin router, langkah seterusnya ialah membuangkan sebahagian ruangan dalam petak tersebut selaras dengan bentuk empat segi yang menjadikan ke dalaman gabungan bentuk X dan O sebelumnya kepada 6mm.

    Langkah tersebut sengaja dilakukan selepas awda melorek gabungan bentuk tersebut bagi memudahkan awda mengendalikan mesin router.

    Jika permukaan yang hendak dibentuk tidak rata, contohnya berlubang disebabkan bentuk petak yang direka, akan menyebabkan sukar untuk mengendalikan mesin dengan sempurna menyebabkan proses rekaan tidak sempurna mahupun gagal.

    Bagi bahagian penutup, sesebuah logo akan dilakar pada permukaan atasnya untuk memberikan hasil akhir yang lebih baik kepada rekaan. Terdapat pelbagai cara untuk melakukannya sama ada secara manual atau automatik.

    Bagi awda yang mempunyai mesin laser, mengukir sesuatu bentuk pada permukaan kayu bukanlah suatu yang sukar. Dengan memprogramkan melalui perisian yang betul akan membolehkan awda mengukir dari sesuatu bentuk mudah kepada yang sukar.

    Manakala bagi awda yang tidak memiliki peralatan sedemikian, melakarnya secara manual mahupun hanya menyemburkan cat merupakan satu pilihan. Untuk penggunaan cat, stensil akan digunakan menerusi sekeping pelekat yang telah dipotong pada bahagian dalamannya dengan corak pilihan.

    Awda hanya perlu memotongkan corak tersebut menggunakan pisau utiliti kemudian melekatkannya pada permukaan kayu seterusnya menyembur atau menyapukan permukaannya dengan cat. Setelah cat mengering, menanggalkan stensil akan mendedahkan corak berkenaan.

    Langkah terakhir ialah melindungi keseluruhan permukaan rekaan menggunakan lakuer atau wood finish pilihan. Pada langkah ini, penggunaan wood finish jenis lut sinar disarankan untuk mengekalkan warna semula jadi kayu. Sekurang-kurangnya dua lapisan wood finish diperlukan dengan setiap lapisan perlu mengering terlebih dahulu sebelum diberikan dengan lapisan seterusnya sebelum membolehkan awda bermain dengannya.

    Selain cukup menyeronokkan, rekaan yang cukup versatil juga mudah untuk dibawa ke mana-mana dan bila-bila masa untuk dimainkan!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda