Tuesday, October 29, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tidak ada kerajaan jatuh kerana bantu rakyat’

    PUTRAJAYA, 28 OKT – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha kerajaan dalam membantu rakyat khususnya golongan yang memerlukan sama sekali tidak akan menyebabkan kerajaan jatuh, sebaliknya punca utama adalah akibat amalan rasuah.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belum pernah tercatat dalam sejarah dunia mengenai tumbangnya sesebuah kerajaan kerana memperuntukkan perbelanjaan besar untuk kepentingan rakyat.

    “Saya tak pernah baca atau ada sejarah dunia sama ada sejarah Islam, China purba, India, Arab atau Amerika Latin bahawa ada kerajaan jatuh kerana belanja banyak untuk tolong rakyat miskin.

    “Belum pernah tercatat dalam sejarah ada mana-mana pemerintah itu kalah atau jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya dengan bagi upah yang adil.

    “Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan tamak haloba, pimpinan kaut harta yang bukan hak mereka. Itu yang menyebabkan negara tumbang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Residensi MADANI Putrajaya, hari ini.

    Anwar berkata langkah menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 merupakan tekad politik yang jelas menggambarkan keseriusan kerajaan terhadap aspek kesejahteraan rakyat.

    Beliau berkata kerajaan turut menumpukan aspek pembinaan rumah mampu milik, yang mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negara ini.

    “Ini merupakan satu usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera serta menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Perumahan Residensi MADANI Wilayah Persekutuan Putrajaya di Tapak Projek Pembangunan Residensi Sentral Presint 7 pada 28 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda