Pelakon Amar Baharin mengaku perlu menjaga hati isteri, Amyra Rosli sepanjang penggambaran drama kisah poligami, Cemburu Seorang Perempuan yang dibintangi mereka.
Memegang watak ketua keluarga beristeri dua iaitu lakonan Amyra dan Emma Maembong, Amar sentiasa berbincang dengan Amyra sebelum menjayakan setiap babak.
“Seperti yang diketahui ramai, ini adalah gandingan sulung kami selepas bergelar suami isteri. Jadi, saya harus menjaga batas dan pergaulan di set penggambaran… Saya tak boleh lebih-lebih. Saya dan Amyra berbincang terlebih dahulu sebelum memulakan penggambaran. Ini bagi mengelak timbul sebarang isu pada masa hadapan.
“Pernah ketika menjayakan satu babak, Amyra perlu menjerit, bermain emosi dan menangis. Namun, tiba-tiba, Amyra beritahu dia rasa bayi dalam kandungan tidak bergerak hingga keadaan jadi cemas,” katanya kepada media.
Ketika berlakon dalam drama itu, Amyra hamil lima bulan. Namun, pasangan itu berjaya menyudahkan komitmen membintangi drama berkenaan selama dua bulan. Dalam drama itu, Emma memegang watak Emilia iaitu isteri pertama. Amyra pula menghidupkan watak Dhia sebagai isteri kedua.
Amar yang melakonkan watak Zikri, tabik dengan Amyra yang melakonkan watak Dhia yang penuh emosi dalam drama berkenaan. Berkongsi mengenai kandungan Amyra, Amar berkata, dia belum mengetahui jantina anak kedua yang dijangka lahir pada Februari depan.
Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan anak sulung, Aqeef Anaqi pada 15 Oktober 2017. – Agensi
