TOULOUSE, PERANCIS, 5 MEI -Kerajaan Perancis hari ini berkata ia akan mengharamkan penjualan kolam renang di atas tanah di wilayah selatan kerana kemarau berterusan.
Menteri Peralihan Ekologi, Christophe Bechu berkata Pyrenees-Orientales tidak mampu membenarkan orang ramai mengisi kolam mereka sementara wilayah itu mengalami kekurangan air.
Peraturan itu adalah sebahagian daripada langkah krisis baharu yang berkuat kuasa pada 10 Mei, katanya.
Sebahagian besar selatan Perancis dicengkam kemarau, lebih teruk daripada mana-mana kemarau sejak 1959, menurut pengawas wilayah Rodrigue Furcy.
Jika orang dibenarkan membeli kolam “mereka mungkin mengisinya walaupun tidak dibenarkan”, kata Bechu kepada penyiar RTL.
“Atas dasar apa yang berlaku dengan alam semula jadi, dan situasi yang kita hadapi, orang ramai perlu membiasakan diri dengan idea bahawa pemanasan global sedang berlaku sekarang,” kata Bechu.
Langkah-langkah untuk menjimatkan air yang sudah berkuat kuasa termasuk larangan orang ramai menyiram rumput dan pokok bunga atau mencuci kereta mereka. – AFP


