NEGERI SEMBILAN, MALAYSIA – Hari-hari menjelang Deepavali adalah istimewa untuk pesakit amputasi dua kaki dan dialisis buah pinggang, Santhi Sellaperumal, 56.
Tahun ini, ahli keluarga dan sanak saudara telah berkumpul untuk menambahkan lagi keceriaan pada perayaan tersebut. Mereka membantunya menghiasi rumah dan menyediakan hidangan tradisional India serta snek perayaan.
Bagi suri rumah dari Lukut, Negeri Sembilan itu, tiada apa yang lebih bermakna daripada kehadiran orang tersayang di sisinya ketika Deepavali, yang akan disambut pada 20 Oktober tahun ini.
“Deepavali sentiasa meriah dan dipenuhi dengan kasih sayang. Apabila adik-beradik, anak-anak dan cucu-cucu saya pulang ke rumah untuk meraikannya, rumah itu terasa lengkap semula. Seronoknya semua orang bersama-sama semasa Deepavali,” kata Santhi, yang merupakan keturunan India dan Cina.
SEMANGAT PERAYAAN
Mengetahui bahawa Santhi kini bergerak dengan bantuan kerusi roda, adik-beradik dan saudara-maranya telah berkumpul beramai-ramai untuk membantunya dengan persiapan Deepavali.
Di ruang tamu, abangnya, pesara S. Gunasegaran, 61, dan abang iparnya, ahli perniagaan Sundar Veeramalai, 52, sedang memasang kalungan thoranam (diperbuat daripada daun mangga segar) di pintu masuk hadapan.





Menurut Gunasegaran, menggantung daun mangga di ambang pintu adalah tradisi penganut Hindu yang dipercayai dapat menghalau kejahatan dan membawa kemakmuran semasa Deepavali.
“Kami meletakkannya di pintu masuk untuk menyambut Dewi Lakshmi (yang mewakili kemakmuran) dan Dewi Saraswati (ilmu).
Di anjung pula, adik Santhi, suri rumah S. Kalarani, 46, memberikan sentuhan terakhir pada kolam, bentuk seni tradisional India yang dicipta dengan melukis corak rumit di atas tanah menggunakan beras berwarna.
Anak perempuan Kalarani, eksekutif bank Mishalini Sundar, 26, dan eksekutif teknologi maklumat Yashinavi Sundar, 23, menghiasi kuthu vilakku (lampu minyak tradisional) dengan bunga untuk melengkapkan kolam.
Tema kolam tahun ini menampilkan bunga marigold, yang melambangkan keberkatan dan kemakmuran. “Kuthu vilakku mesti ada semasa Deepavali kerana ia melambangkan cahaya. Kami menyalakannya untuk mengalu-alukan Dewi Lakshmi ke rumah kami pada hari istimewa ini,” jelas Kalarani.
KELUARGA DIDAHULUKAN
Keluarga sentiasa menjadi sumber kekuatan terbesar Santhi melalui semua pasang surut kehidupannya. Mereka telah berdiri di sisinya selepas kedua-dua kakinya dipotong dan menyokongnya melalui setiap peringkat perjalanan dialisisnya.
Santhi mengendalikan sebuah restoran India di Lukut selama hampir 25 tahun. Malangnya, keadaan berubah pada 2019 apabila dia mengalami lecur teruk selepas tumpahan air panas di restoran itu. Dia kemudiannya mendapat jangkitan, yang membawa kepada pemotongan kakinya.
Sejak 2021, dia telah menjalani dialisis tiga kali seminggu kerana kegagalan buah pinggang.
Setelah mengusahakan sebuah restoran selama bertahun-tahun, tidak menghairankan memasak adalah salah satu minat terbesar Santhi. Dan tahun ini, seperti biasa, dia akan menyediakan sajian Deepavali yang lazat termasuk thosai, kari ayam, nasi minyak sapi, daging kambing peratal dan idli.
‘BOLA BATU’
Santhi juga bersedia untuk membuat snek tradisional kegemaran keluarganya untuk musim perayaan ini, termasuk achi muruku, muruku, nei urundai dan chippi. Terakhir dalam senarai ialah kallu urundai, makanan ringan manis dari India Selatan yang diterjemahkan kepada ‘bola batu.’
Ia diperbuat daripada bahan-bahan kering yang dipanggang dan dikisar seperti gram hijau, chana dhal, nasi direbus separuh empuk dan kacang tanah. Sirap jageri panas mengikat adunan, yang kemudiannya dibentuk menjadi bola bulat pejal.
“Bahagian yang paling mencabar,” kata Santhi, “adalah mendapatkan sirap dengan tepat. Segala-galanya bergantung pada teksturnya, ia mesti mencapai konsistensi seperti benang. Apabila awda menitiskan sedikit sirap ke dalam air dan ia membentuk bola lembut, pada masa itulah awda tahu ia sudah sedia.
“Kallu urundai mesti dibentuk semasa campuran tepung dan jageri masih panas, jadi masa dan ketepatan adalah penting. Jika sirap jageri tidak mencukupi, semuanya akan hancur,” jelasnya.
Tidak seperti snek Deepavali yang popular seperti muruku dan nei urundai, kallu urundai telah menjadi snek yang jarang didapati.
Sebilangan kecil orang masih tahu cara membuat hidangan tradisional ini, dan ia jarang dihidangkan semasa musim perayaan.
Prosesnya panjang dan memerlukan kesabaran, daripada mencuci dan mengeringkan bahan-bahan hinggalah kepada memanggang, mengadun, menyediakan sirap jageri dengan konsistensi yang betul, dan akhirnya membentuk adunan menjadi bebola.
Dan ia adalah langkah-langkah yang terus diikuti Santhi dengan setia, meskipun kurang upaya, untuk mengekalkan resipi tradisional.
“Generasi muda mengatakan terlalu banyak kerja untuk membuat kallu urundai dan lebih suka meninggalkannya semasa Deepavali.
“Ia menyedihkan kerana ia adalah manisan tradisional, dan hanya orang tua yang tahu cara melakukannya dengan betul,” kata Santhi, yang belajar membuat snek tradisional India itu daripada ibu dan ibu mertuanya.
Dia bersyukur kerana Mishalini telah menunjukkan minat untuk mempelajari cara membuat kallu urundai. Walaupun jadual kerjanya padat, Mishalini telah mengambil masa untuk belajar dan menguasai makanan ringan tradisional itu.
Mishalini berkata, “Kallu urundai Periamma (Ibu saudara) adalah yang terbaik. Kami sentiasa berharap untuk mendapatkannya semasa Deepavali. Dengan mempelajarinya, saya boleh mengekalkan resipi ini untuk tahun-tahun akan datang.
“Bahagian yang paling sukar adalah mengetahui apabila sirap telah mencapai konsistensi yang betul,” jelasnya. “Api perlu dimatikan, dan awda mesti tahu dengan tepat bila untuk menambahnya.
“Satu lagi bahagian yang sukar adalah menuang sirap panas ke dalam tepung, ia sangat panas sehingga membakar tapak tangan saya apabila saya membentuknya menjadi bebola.”
Santhi berharap lebih ramai ahli keluarganya, terutamanya anak, mertua dan anak saudaranya, akan meluangkan masa untuk mempelajari tradisi ini.
“Snek ini perlahan-lahan akan lenyap jika tiada siapa yang belajar membuatnya dengan cara tradisional. Harapan saya adalah agar resipi ini kekal dalam keluarga kami untuk generasi akan datang,” katanya. – ANN/The Star

