Oleh Zulkamal Haji Kamis
Kehebatan drama Setelah Terlafaznya Akad memberikan rangsangan baharu buat Kamal Adli yang kini lebih serius dalam mengembangkan lagi penglibatan beliau dalam bidang seni hiburan Malaysia.
Perjalanan seni pelakon hebat dan serba boleh ini mendapat perhatian apatah lagi telah berjaya menjiwai watak Hanan di dalam drama Setelah Terlafaznya Akad di mana pernah mencetuskan kemarahan pelbagai netizen berikutan tindakannya yang tidak ‘usul periksa’ dan selaku seorang suami kepada Nawal, lakonan Uqasha Senrose.
Baru-baru ini telah berlangsung Meet & Greet pelakon-pelakon Setelah Terlafaznya Akad iaitu pelakon utama Kamal Adli, Uqasha Senrose dan pelakon-pelakon yang lain seperti Zeera Azizi, Zulhelmy, Nadya Syahera, Sharifah Shahora dan banyak lagi serta para peminat berpeluang untuk mendapatkan tandatangan daripada pelakon-pelakon drama ini.
Setia menanti
Acara yang berlangsung di Nu Sentral itu turut mengumpulkan kelab peminat Kamal Adli, Kamaliens yang datang dari pelosok Malaysia malah ada juga yang datang dari Indonesia untuk mengenali dengan lebih dekat lagi siapa dia Kamal Adli.
Walaupun sibuk dengan penggambaran, Kamal Adli tetap hadir bagi menjayakan majlis tersebut di mana antara yang dinanti-nanti oleh kebanyakan peminat terutama dari kelab peminat beliau, Kamaliens. Acara Meet & Greet itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang diselenggarakan sendiri oleh pihak pengurusan dan juga artis-artis drama tersebut.
Di akhir acara, Kamal Adli turut meluangkan waktu dan beramah mesra bersama peminat-peminat beliau, Kamaliens malah Kamal Adli turut berpeluang untuk memotong kek yang disediakan khusus untuk beliau. Ternyata, Kamal Adli tidak pernah mengeluh untuk melayan para peminatnya malah sentiasa terbuka untuk berswafoto dan sebagainya.
Perkembangan terbaharu, Kamal Adli bakal muncul dengan filem baharu nanti berjudul Escape yang bakal ditayangkan pada tahun ini dan drama hebat, Utusan Cinta Buat Adam yang masih bersiaran di saluran TV3.

