Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tidak lagi gantung telefon atas tiang buluh

    PITAS – Ulad Sugantong masih teri-ngat tidak berapa lama dahulu apabila beliau bersama penduduk Kampung Mangkapon di sini terpaksa menggantung telefon bimbit di atas sebatang tiang buluh bagi mendapatkan akses internet yang lebih baik.

    Menurut Ulad, 71, telefon bimbit itu digantung dalam sebuah botol plastik dan diaktifkan mod ‘hotspot’ bagi membolehkan telefon bimbit beliau serta ahli keluarga mendapatkan akses internet, namun akhir tahun lepas beliau bersama penduduk kampung majoritinya berketurunan Rungus ceria dapat menurunkan telefon itu.

    Kini sebuah menara telekomunikasi menyediakan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi 4G dibina dan beroperasi September lepas di kampung itu, seterusnya membawakan kemudahan internet yang mengubah kehidupan mereka.

    “Sebelum ada menara di sini orang kampung semua sibuk naik bukit, naikkan telefon atas tiang buluh dapatkan internet, itu telefon diaorang tarik dalam botol macam naikkan bendera pergi atas, jadi orang kampung merayu kepada kerajaan mahu dirikan satu menara (telekomunikasi) di kampung ini.

    “Bila ini tempat sudah dapat menara, sudah berdiri dan beroperasi, semua orang kampung senang bukan sahaja daripada segi pembelajaran anak-anak, bahkan juga semua perniagaan diusahakan orang kampung,” kata Ulad yang juga seorang pastor di kampung itu kepada Bernama.

    Chrise Norsidi, pelajar ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kini mudah menyiapkan tugasan pelajaran mengikut masa ditetapkan sejak menara telekomunikasi siap dibina di Kampung Mangkapon Pitas. – Bernama
    Penduduk Kampung Mangkapon, Ulad Sugantong menunjukkan sebatang tiang buluh yang digunakan penduduk Kampung Mangkapon menggantung telefon bimbit bagi mendapatkan akses internet yang lebih baik sebelum pembinaan menara telekomunikasi di kampung tersebut. – Bernama
    Pairin Ulad kini mudah menghubungi keluarga dan sanak saudara yang jauh dengan menggunakan telefon bimbit selepas pembinaan menara telekomunikasi di kampung itu. – Bernama
    Izani Othman (kiri) memperkatakan sesuatu dengan Ulad Sugantong mengenai kebaikan projek menara telekomunikasi yang dibina MCMC di kampung itu. – Bernama
    Izani Othman (kiri) tertarik melihat produk manik yang dihasilkan penduduk Kampung Mangkapon. – Bernama

    Bantu pembelajaran

    Anaknya, Rupyin, 45, pula berkata kemudahan internet amat membantu pembelajaran dua anaknya yang merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor dan seorang lagi menghadapi peperiksaan SPM.

    “Sedih juga hati saya apabila lihat anak terpaksa gantung telefon atas tiang mahu dapatkan internet untuk PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah) tetapi itu terpaksa kami lakukan untuk mendapatkan internet lebih baik.

    “Tetapi hari ini berbeza apabila ada menara komunikasi di kampung ini, internet bertambah laju dan anak-anak dapat belajar dengan baik, ini memberikan cara untuk anak-anak kita di kawasan luar bandar ini bersaing dengan anak-anak di bandar,” katanya.

    Rupyin berkata selain itu internet membolehkan penduduk terutama suri rumah seperti dirinya untuk memperoleh pendapatan sampingan dengan memasarkan kraf tangan masyarakat Rungus dibuatnya bersama penduduk, seperti gelang, rantai dan anting-anting diperbuat daripada manik.

    Chrise Norsidi, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah UTHM yang juga anak Rupyin berkata, ketika tiada liputan internet beliau agak sukar membuat pendaftaran subjek secara dalam talian di universiti terutama subjek elektif yang menjadi pilihan ramai pelajar.

    Memudahkan komunikasi

    Beliau berkata dengan adanya talian internet di kampung itu beliau dapat berhubung dengan rakan sekuliah di mana-mana sahaja bagi bertukar pendapat, berkomunikasi dan belajar bersama, berbanding ketika ini tidak dapat berkomunikasi dengan rakan apabila pulang ke kampung halamannya.

    Sementara itu Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Izani Othman berkata pihaknya menerima aduan penduduk kampung itu mengenai ramai pelajar yang sukar mengikuti PdPR kerana kesukaran mendapatkan talian internet.

    “Kita kemudian berjumpa dengan penduduk kampung dan kenal pasti masalah serta penyelesaiannya, maka menara komunikasi ini siap dibina pada Julai tahun lepas ambil masa sembilan hingga 10 bulan siapkan, kemudian bulan September tahun lepas sudah mula operasi.

    “Sememangnya ada kesukaran seperti kita lihat sendiri jalan masuk ke kawasan ini amat mencabar dan untuk mendapatkan punca kuasa elektrik itu, tetapi kita berjaya sediakan menara ini untuk penduduk kampung mendapatkan kemudahan internet,” katanya.

    Beliau berkata menara di Kampung Mangkapon merupakan salah satu daripada 109 menara yang telah siap dan beroperasi sehingga Disember 2021, daripada 538 menara dicadangkan menerusi Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sabah, manakala baki menara itu dijadual disiapkan menjelang akhir tahun ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...